3 Langkah Menulis Berita

 photo 4f1e64b5-2e8f-4e0a-91a2-9d2318689d1b_zps8fc91e33.jpg

“Jangan takut nak mula sebab belum pandai. Pelumba MotoGP pun ada masanya kena naik skuter juga” ~ Ali Imran (2014 – Grand Prix San Marino)

Mari kita mula kerja.

Pagi ini saya kongsikan tiga cara mudah untuk mula menulis berita.

Tak kiralah sepanjang atau sependek mana berita yang nak ditulis, siapa pun yang ditemuramah sebagai subjek, ini asasnya.

Ok, terus sahaja.

Pertama: Rencah Wajib Masakan

Tiga perkara wajib untuk dikutip dari lokasi berlakunya perkara yang nak diberitakan (selepas ini akan dirujuk sebagai ‘tempat kejadian’):

  1. Fakta

Gunakan prinsip soalan-soalan WH (what, where, who, when, why, how) untuk mendapatkan segala fakta perlu tentang kejadian yang berlaku.

Kayu ukur tanda semua soalan di atas terjawab ialah, bila ada orang tanya anda tentang apa yang berlaku, anda boleh cerita kepadanya dengan tepat tanpa sebarang ragu-ragu atau syak wasangka.

Lebih cantik, jika ia dapat dijelaskan mengikut tertib kronologi peristiwa, satu demi satu.

Di sinilah perlunya prinsip ‘Lihat’ dan ‘Faham’ yang cuba disemai melalui blog ini.

Untuk faham tentang sesuatu, anda perlu ‘lihat’ peristiwa itu berlaku.

‘Lihat’ tidak sentiasa bermaksud secara literal, sepasang mata anda terjojol melihat peristiwa.

Dalam kejadian seperti kemalangan di jalanraya, kebarangkalian untuk proses lihat secara literal berlaku, amat tipis.

Jadi, ‘lihat’ juga boleh berlaku macam yang anda selalu lihat dalam drama penyiasatan CSI. Anda tiba di tempat kejadian, lihat hasil atau impak daripada peristiwa yang berlaku. Dari situ, anda dapatkan maklumat daripada saksi atau ‘officer-in-charge’ menceritakan kronologi peristiwa.

Itulah proses ‘lihat’ yang anda lakukan. Barulah datang proses ‘faham’.

  1. Kata

Dapatkan kata-kata sebenar, dalam Bahasa Inggeris diistilah sebagai ‘quote’ daripada orang yang terlibat secara langsung dengan peristiwa yang berlaku.

Sumber yang layak biasanya pihak berkuasa yang menyelia peristiwa, jurucakap yang dilantik pihak penganjur acara, mangsa kejadian, atau saksi mata-kepala yang sanggup beri keterangan.

Cuba elakkan daripada guna saksi yang ‘kawan saya yang tengok tadi kata…’. Kalau saya sendiri pun, tak berani nak guna input daripada ‘saksi’ sebegini sebab jika tak kena gaya, kita yang ‘seksa’.

Sebagai wartawan, sekalipun kita pakar dalam sesuatu perkara tapi kita bukanlah orang yang ‘in-charge’ dalam peristiwa itu, pastikan topi ‘wartawan’ itu melekap atas kepala ketat-ketat.

  1. Mata

Dapatkan gambar. Supaya pembaca dapat juga melihat kejadian yang mata anda berpeluang lihat.

Kedua: Mudahkan Pembaca

Untuk mengelak daripada mengulas terlalu panjang tentang ini, saya beri tiga tips:

  1. Panjang ayat.

Setiap ayat yang ditulis, panjangnya pastikan dapat dibaca dalam satu nafas percakapan orang biasa. (Bukan macam adik berbaju yang nyanyi a..b..c..fa..so..la..ti..do.. dalam iklan Maxis 1-0)

  1. Isi setiap perenggan

Perenggan pertama cerita secara ringkas tentang kejadian yang berlaku menjawab semua soalan WH.

Perenggan kedua masukkan ‘kata @ quote’ daripada sumber.

Perenggan ketiga dan seterusnya, ikut kreativiti anda sendiri.

  1. Utamakan yang penting

Perkara paling penting di bahagian awal berita, perkara kurang penting di akhir berita. Perkara tak penting buang sahaja tak perlu masukkan dalam berita, buat semak otak pembaca.

Ketiga: Neutral Dari Fahaman Peribadi

Saya boleh jadi penyokong tegar pasukan Harimau Malaya (Auuummmm!!!) tapi bila tulis berita tentang perlawanan mereka dengan Thailand, jangan sampai pembaca dapat kesan perkara itu.

Sesebuah berita seharusnya melaporkan tentang sesuatu kejadian. Bukan mengulas bagaimana ia sepatutnya berlaku atau menyatakan sokongan atau kutukan tehadap sesuatu perkara.

Kita memberita, cerita apa yang berlaku. Pembaca yang tentukan apakah perasaan mereka selepas membaca berita itu.

Sebab itu di sebahagian potal berita atau blog, dah mula ada butang respon perasaan tentang berita yang disiarkan.

 ~ ~ ~

Ini sahaja perkongsian saya pagi ini.

Mulalah tulis berita pertama anda hari ini. Emelkan kepada saya: aliimran.mn@gmail.com atau tag saya pada berita yang anda tulis hari ini di FB.

Nanti saya beri komen.

Salam warta.

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *