5 Topik Sedia Untuk Ditulis

 photo d0dd6d16-f8e3-4982-8973-ce25e5503a67_zps339c0c66.jpgEntah berapa ratus/ribu orang dah tulis tentang jambatan ini tapi ia tetap subjek segar penulisan bila sentuh tentang aktiviti pelancongan di negeri ini. [2014, Sabah]

 

*Aktiviti Pemanas Badan*

Sebelum kita pergi jauh, mari buat satu aktiviti.

Saya ajak anda semua untuk buka surat khabar hari ini, cari satu berita yang anda buat anda rasa macam ‘hak eleh…entah apa-apalah berita ini, benda macam ini pun nak dijadikan berita?’

~ ~ ~

Salam pagi yang indah.

Semalam kita bincang tentang 3 langkah untuk menulis berita.

Bagi saya, tiga perkara yang dibincangkan semalam iaitu rencah penting dalam berita, mudahkan bentuk penulisan untuk pembaca dan pinggirkan fahaman peribadi tidak dapat di ketepikan dalam semua bentuk penulisan.

Soalannya sekarang, mungkin yang jadi misteri bagi kebanyakan kita ialah:

“Nak tulis tentang apa?”

Haha, ini menarik. Sepanjang 24 jam kita hidup setiap hari, banyak perkara yang kita lalui, orang yang kita jumpa, situasi yang kita lihat.

Tapi yang mana sesuai dijadikan berita?

Saya jawab begini sahaja:

“Semua benda boleh dijadikan berita.”

~ ~ ~

Sebenarnya, ia bergantung kepada kita sebagai penulis. Sesuatu yang kecil, jika ada yang sudi mengangkatnya sebagai bahan berita, maka ia akan jadi sebuah berita.

Lihat makcik jual nasi lemak di tepi jalan. Pasti ada cerita tentang kegigihan beliau berniaga yang boleh anda tulis.

Atau mungkin juga tentang sambal ikan bilisnya yang amat sedap,

Atau mungkin tentang keramahannya melayan pelanggan,

Boleh jadi juga, tentang anak daranya yang cantik molek tidak segan bantu ibu bapa berniaga walaupun lulusan ijazah luar negara.

Ianya benar-benar bergantung kepada kita.

Kalau kita tertarik pada sesuatu perkara, pasti ia boleh diangkat sebagai berita.

~ ~ ~

Untuk ramai di antara kita yang mungkin tidak pernah menulis berita, saya cadangkan satu prinsip untuk anda pegang.

“Mula dengan apa yang ada di tangan”

Prinsip ini dipopularkan oleh guru-guru bidang perniagaan, membawa erti bahawa untuk memulakan perniagaan, tak perlu nak terus cari benda besar, modal besar, liabiliti besar untuk digelar usahawan.

Kalau ada Rm 50 dalam tangan sekali pun, gunalah RM 50 itu sebagai modal pemula. Dari situ, kita bergerak perlahan-lahan.

Sama juga dengan penulisan berita, mari kita mulakan dengan apa yang ada di tangan.

Jadi di bawah ini, saya senaraikan 5 kelompok subjek yang boleh anda pilih.

Ini bukan senarai yang ‘absolute’. Jika anda punya subjek lain, silakan jalan terus.

Modal di tangan saya dan modal di tangan anda, pastinya berbeza.

~ ~ ~

5 Subjek Pemula

1. Random Act Of Kindness

Tindakan orang berhati mulia yang kecil-kecil seperti orang bantu warga emas lintas jalan, orang bantu haiwan yang dalam kesengsaraan, atau perbuatan-perbuatan yang dirasakan sesuai dengan subjek ini.

2. Kejayaan/ Kisah Hidup

Perniagaan yang berjaya, usahawan kecil yang berusaha gigih, anak sekolah capai keputusan cemerlang, dan sebarang bentuk perkara yang di mata anda, sebuah kejayaan yang dicapai sesebuah organisasi atau individu.

Kisah Hidup pula serupa dengan kisah kejayaan, tapi tidak semestinya tentang kejayaan sahaja. Boleh jadi tentang datuk anda yang gigih mempertahan negara daripada penjajahan, boleh jadi juga tentang penyesalan seseorang tentang kesalahan yang pernah dilakukan.

3. Peristiwa/ Acara

Sebarang majlis seperti reunion old boys, hari keluarga, lawatan, seminar yang dilaksanakan, kempen-kempen, semuanya termasuk dalam kategori ini.

4. Trafik Jalanraya

Ia boleh jadi tentang kesesakan jalanraya, kemalangan, tanah runtuh bikin laluan terputus, dan yang sewaktu dengannya.

 Tambah nilai diri. Kalau dahulu kita jadi tukang tengok tapi sekarang kita turun lihat, dan tulis berita tentangnya.

Sangat baik jika kita ada platform hebahan setempat, seperti grup whatsapp sesama anggota kawasan kejiranan, grup motorsikal atau kereta yang sedang dalam konvoi.

5. Sukan

Sukan sekolah anak kita, atau perlawanan persahabatan antara department dalam pejabat kita dan apa-apa cerita yang sekufu dengan subjek ini, boleh dijadikan berita.

Kalau anak kita sertai (tak semestinya menang pun) acara cari gula-gula dalam tepung waktu hari keluarga pun, boleh kita tulis.

Lagi 20 tahun, anak kita akan dapat tahu berita tentang dirinya sendiri  🙂

 ~ ~ ~

Saya fikir, cukup setakat ini dahulu.

Doa saya, info yang diberi memberi manfaat, serta boleh mendorong pembaca untuk mula menulis.

 

Sampai jumpa.

 

Lihat. Faham. Beritakan.

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *