Ranking Kerjaya

image

Selamat Pagi.

Isnin yang indah. Sebagai warga Kuala Lumpur berdasarkan lokaliti tempat kerja, dengan gembiranya saya menikmati cuti umum gantian sempena sambutan Hari Wilayah, semalam.

Esok, sambung cuti Thaipusam pula.

Bagi yang bercuti, apa pun yang dibuat, moga gembira dan bahagia sentiasa.

Buat yang bekerja, chayok! Esok kita cuti sama-sama.

Buat yang boleh kerja atau cuti sesuka hati, tak pasti apa yang anda rasa apresiasi terhadap cuti-cuti ini. Ada bezakah hari ini dengan hari-hari lain?

IBU SABARIAH DI PIHAK BENAR

Sengaja saya kongsikan gambar di atas, tidaklah saya dapat pastikan dari mana sumbernya, siapa sampel kajiannya, apa skop pembentangannya.

Cuma daripada label yang dinyatakan pada garis x dan y, saya teka ia menceritakan tentang 15 jenis pekerjaan yang dipilih secara rawak dan persepsi keboleh-percayaan terhadap orang-orang yang terlibat dalam profesyen itu.

Ngomelan saya selepas ini, dengan anggapan bahawa senarai ini ‘genuine’ hasi kajian seseorang di Malaysia, dilakukan dalam tempoh terdekat.

Agak menarik kerana dalam banyak-banyak pekerjaan, kerja yang biasanya kurang dapat publisiti ini terselit di celah-celah karier yang nampak lebih ‘glam’ dan ‘posh’ secara lahiriah.

Terpampang, pekerjaan yang biasa mendapat tempat di hati bakal pak-mak mertua, sejuk-perut-ibu-mengandung  ialah yang dapat ranking ialah doktor-doktor kita.

Ternyata, ibu kepada Sabariah dalam filem ‘ibu mertuaku’ mempunyai telahan yang tepat. Bahkan selepas rancangannya berjaya, Sabariah dikahwinkan dengan Doktor Asmadi.

Terbukti, di akhir filem si hero, walau diberi peluang kedua melihat semula tetap memilih cara kurang bertamadun untuk menyelesaikan masalah ‘dunia’.

PENGIKTIRAFAN ATAU TAMPARAN?

Tidak dinampakkan dengan jelas persepsi kerjaya sebagai wartawan dalam carta tapi menariknya ada dua kerjaya yang berkaitan bidang ini tersenarai sama.

Pembaca berita dan penulis rencana (itulah kerja hakiki saya di pejabat) berada betul-betul di bawah kerjaya-kerjaya berprofil tinggi seperti guru, profesor, tokoh agama, ahli sains dan hakim.

Adakah ini satu pengiktirafan atau tamparan?

Pada saya, dengan senarai pilihan seperti ini, kita berada di ranking yang agak baik.

Kesemua kerjaya yang mendapat tempat lebih tinggi daripada kita, adalah kerjaya-kerjaya yang memerlukan pengetahuan dan kepakaran spesifik terhadap bidang tugasnya.

Bidang kewartawanan pula, pada saya adalah saru bidang yang agak terbuka buat sesiapa yang punya ‘passion’ terhadapnya.

Ya, tidak semua orang tiba-tiba boleh lompat masuk bidang kedoktoran selepas tonton Grey’s Anatomy tapi jika ada yang rasa nak jadi wartawan lepas tonton Majalah Tiga, peluang itu ada.

Pendek kata, dalam kategori ‘terbuka’, kita di tempat pertama.

PELUANG

Ini peluang baik buat kita.

Peluang untuk mendidik masyarakat masih terbuka. Nukilan-nukilan anda masih ada tempat di hari manusia.

Terpulanglah kepada kita pula untuk mengambil tindakan seterusnya.

Sama ada mahu cari yang berguna untuk mereka baca atau mengangkat kudis dan kusta masyarakat dan buat mereka percaya seolah sudah riada harapan dan kemanusiaan di dunia ini.

Biarlah ia sekadar cerita 5 ayat tentang anak muda bantu pak tua melintas jalan ataupun ubi keledek goreng tersedap yang anda pernah jumpa di jalanan.

Mari korek segala yang indah dan tunjukkan di depan mata pembaca, tamadun ini masih ada harapan.

Sekian.

Lihat.Faham.Beritakan.

Ali Imran
Wartawan Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *