House Style – 7 Elemen Asas.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya asyik kena karate dengan editor sebab masalah yang dipanggil ‘house style’.

Pastinya kena marah, sebab sudah empat tahun bekerja, tapi masih buat kesalahan.

Kalau house style Bernama tidak diikuti, nanti berita yang ditulis akan hilang identiti ke-Bernama-an-nya.

Inilah yang perlu dijaga editor.

House style Bernama ialah ibarat kulit yang menampakkan rupa agensi ini di mata dunia.

Apakah kulitnya cerah, gelap, sawo matang, albino dan sebagainya, struktur kulit inilah yang membolehkan pembaca mengenal berita yang ditulis Bernama atau orang lain.

Ia tak boleh diubah-ubah sesuka hati seperti artis K-Pop mengubah wajah guna pembedahan plastik.

 

APA ITU HOUSE STYLE?

 

Ruangan ‘grammar’ di about.com menafsir house style sebagai, satu cara spesifik yang diikuti penulis dan editor untuk memastikan hasil konsisten daripada sesebuah organisasi penerbitan.

Penerbitan itu, tak kiralah sama ada akbar, majalah, jurnal, laman sesawang atau buku. Cuba anda perhatikan, semuanya ada cara dan gaya penulisan tersendiri.

Kalau ikut saya, saya menafsirkan begini:

“House Style adalah satu cara untuk buat rumah penerbitan dilihat sebagai satu batang tubuh, dan penulisannya sebagai suara. Setiap terbitan yang dikeluarkan punya suara, gaya bahasa, penggunaan terma, lingo yang sama meskipun ia ditulis oleh 100 orang yang berbeza.”

~Ali Imran, 6 Feb 2015~

Cuba anda ambil Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro, dan Kosmo! (untuk akhbar Bahasa Melayu) dan ambil The Star, New Straits Times, dan The Edge.

Letak semua akhbar Bahasa Melayu sebelah menyebelah, buat perkara sama untuk akhbar Bahasa Inggeris.

Pertama, baca setiap akhbar dari kulit ke kulit. Perasan tak, ‘suara’nya sama sahaja. Gaya penulisan dari awal ke akhir semua sama. (Tolak tepi artikel yang diimport dari agensi berita)

Kedua, perhati betul-betul lenggok penulisan mereka. Anda akan lihat, setiap mereka punya cara tersendiri sama ada dari sudut pandang berita (news angle), struktur bahasa, pemilihan perkataan, penggunaan perkataan adaptasi daripada bahasa asing, dan sebagainya.

Inilah antara elemen yang membentuk ‘house style’ untuk sesebuah penerbitan.

Jika anda berhajat untuk menulis untuk mana-mana organisasi, pasti mereka akan memberi penjelasan tentang house style mereka yang anda perlu patuhi.

Melainkan anda seorang kolumnis. Biasanya ada diskaun di situ. Kebanyakan kolumnis mahu artikel mereka membawa ‘suara’ mereka seolah-olah mereka sedang berbicara dengan pembaca. Jadi mereka tak mahu artikel mereka terikat dengan stail rumah penerbitan.

 

CONTOH DI BERNAMA

 

Saya dididik Bernama, maka saya boleh kongsi tentang house style Bernama.

Ada kemungkinan ia punya keserupaan dengan penerbitan akhbar/berita lain tapi itu biasa.

After all, it is still a news. How much could it differ from one to another?

Sebenarnya untuk kupas dan bahas tentang house style, memang panjang tapi saya sentuh yang paling asas untuk hari ini.

Kita lihat gambar di bawah.

 photo 0b684302-8696-452a-bd73-59ef274e18cb_zps2b23b681.jpg

Komponen House Style Bernama:

1. Tajuk

– Tidak lebih 8 patah perkataan

2.‘Dateline’

– Struktur yang digunakan Bernama ialah :

[Bandar Besar tempat berita berlaku] + [Tarikh] + [Nama Organisasi] + [pemisah dateline dengan berita guna tanda ‘-‘ sebanyak dua kali]

3. Intro

– Menjawab semua soalan-soalan ‘WH’

4. Quote

– Butir kata daripada sumber

5. Isi

– Apa sahaja penjelasan mengenai berita yang disampaikan. Boleh jadi fakta, kronologi acara, dan sebagainya

6. Maklumat Tambahan

– Apa sahaja yang menguatkan isi berita. Dalam sesetengah situasi, kita masukkan latar belakang kejadian yang berlaku supaya pembaca boleh ‘recall’ sejarah sesuatu kejadian.

7. Nama Bernama di hujung berita

– Ini adalah bahagian yang akan dikekalkan oleh pengguna berita Bernama bila dimasukkan dalam akhbar/majalah/laman sesawang atau apa sahaja penerbitan mereka, untuk memberi kredit kepada Bernama sebagai sumber berita.

 

Setakat ini dahulu perkongsian hari ini.

Selamat menikmati hujung minggu yang gembira!

 

Ali Imran

Wartawan Awam

 

Sumber:

1. About.com

2. Bernama.com

 

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *