Kebenaran vs. Sangkaan

Selamat pagi semua.

Saya mohon maaf kerana senyap selama beberapa ketika. Masuk gua untuk bertapa buat sementara.

Pagi ini saya kongsikan perihal perbuatan berkongsi/forward/share/reblog dan sebagainya informasi yang datang melayang ke peranti pintar kita, tanpa mengesahkan dahulu tahap ‘reliability’ informasi tersebut.

Seakan sudah jadi trend pada hari ini, pelbagai pihak suka berkongsi info melalui ‘chat’ group. Boleh jadi ia di Facebook, Twitter dan boleh jadi juga menggunakan platform sembang seperti Telegram dan Whatsapp.

Antara info yang sering dikongsi ialah berkenaan hal agama, isu semasa, gosip, kesihatan, teori konspirasi, politik, tips-tips kesihatan, nombor telefon orang-orang terkenal, propaganda, dan tidak lupa juga kadang-kadang ada juga yang cerita perihal dalam kain diri sendiri.

Saya tak mahu sentuh berkenaan perkongsian informasi peribadi. Ertinya, jika anda sendiri ada tulis sesebuah mesej dan menghantarnya, saya letakkan tanggung jawab pengesahan info kepada si penulis.

Hari ini saya nak sentuh tentang perkongsian info yang melayang masuk ke peranti anda kemudian anda baca, mungkin faham, mungkin tak faham, benar atau tidak pun anda tak pasti, kemudian kerana rasa ‘tanggung jawab’ anda rantaikan ia kepada orang/grup lain/

Ini adalah satu tindakan yang AMAT bahaya.

Saya mudahkan penjelasan dalam bentuk poin.

 

1.Menjatuhkan imej individu/organisasi

Setiap perkara yang anda kongsikan, menggambarkan tahap pemikiran anda.

Jika anda kongsi hal-hal yang membina minda, maka anda adalah seorang pembina.

Jika anda kongsi hal-hal yang tahyul-mahyul, itulah diri anda.

Anda mempertaruh imej diri anda, dan jika sosok tubuh dan nama anda juga mewakili mana-mana orgnisasi, percayalah bahawa ia juga akan terpalit juga dengan imej yang anda bina.

 

2.Amaran Tuhan

Waktu saya terjun ke bidang kewartawanan, saya diberi amaran oleh sesepuh.

“Bidang ini, sebelah kaki sudah berada di neraka,” katanya.

Jadi saya tanya, bagaimana untuk mengelak dari jatuh ke dalam api yang membara.

Jawab beliau, rujuklah kitab suci Al-Quran, surah ke 17 (Al- Israa) ayat ke 36.

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya

Saya fikir, ayat di atas menerangkan dengan jelas inti yang saya mahu sampaikan dalam poin ini.

Ini adalah prinsip asas. Buat hanya benda yang kita tahu. Yang kita tak tahu atau tak pasti, jangan buat. Tuhan akan soal kita semula nanti.

 

3.Menimbulkan persepsi situasi yang salah

Kita kongsi berita tentang MH370 tanpa tahu pun apa sebenarnya berlaku.

Ahli keluarga mangsa, sampai hari ini bergenang air mata dengan info tambahan yang tidak perlu.

Kita kongsi berita tentang situasi banjir, tanpa tahu apa sebenarnya berlaku.

Pasukan penyelamat terpaksa mengarahkan aset-aset mencari mayat yang dikatakan bergelimpangan dan tersangkut di pokok, tanpa jumpa satu mayat pun.

Kononnya si polan bin si polan masuk Islam selepas lihat magik itu dan magik ini, bila disiasat, ternyata tidak benar.

Yang tercalar ialah imej agama Islam dan para penganutnya.

Ini tidak adil buat mereka yang terlibat dalam isu ini.

Ia mungkin tidak kena pada batang hidung kita sendiri, sebab itu mudah benar kita sebar berita.

 

4.Sangkaan tidak layak mengatasi kebenaran

Ada yang sangka, konsep ‘shoot first, explain later’ adalah cara terbaik.

Kemudian bila ditegur, mereka kata, tindakan mereka itu tak salah.

“Alah, kalau ya pun berita itu tak benar, kita bersangka baik sahajalah, ini doa kita,” kata pengikut tegar fahaman ini.

Pengikut tegar yang lain pula kata “Kalau betul, macam mana?”

Saya bangkang pendapat ini.

Konsep ‘kalau’ adalah terlalu rapuh untuk dijadikan kayu sandar kepada tindakan yang boleh mendatangkan impak yang lebih besar (dalam kebanyakan masanya, impak buruk).

 

5.Contoh buruk kepada generasi akan datang

Anda mungkin rasa anda sedang/sudah melakukan sesuatu yang baik. Tapi sebenarnya tidak. Anda sedang menunjukkan kepada anak cucu anda bahawa itulah contoh dan tauladan yang anda mahu mereka ikuti.

Nanti bila anda semakin matang dalam berfikir, boleh jadi anda juga yang akan bangkit menyatakan kesalahan sesuatu fakta/cerita yang dikongsi.

Pada waktu itu, jangan terkejut jika nanti anak cucu anda akan menunding jari kembali kepada anda, menyalahkan anda kerana andalah yang mereka tiru.

 

Bagaimana mengatasi masalah ini?

1. Siasat

Jika telefon kita boleh menerima mesej Whatsapp, maksudnya ia ada sambungan internet.

Laburlah sedikit masa untuk ‘google’ informasi itu. Pilih sumber yang berkredibiliti. Bukan portal yang suka guna tajuk menarik tapi isi belum tentu benar semata-mata untuk terik trafik.

 

2. ‘Bite your tongue’

Gigit lidah, bila anda tahu apa yang anda akan cakap, tidak pasti status benarnya.

Tahan jari daripada tekan butang forward/share, jika anda masih 50-50 tentang kesahihan berita/cerita.

 

Sekian dahulu.

Ali Imran

Wartawan Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *