Hudud – Fahaminya Daripada Sumber

Cover - Hudud 2015

19 Mac 2015, ahli-ahli sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Kelantan sebulat suara meluluskan pindaan terhadap Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah.

Malaysia seakan ‘bergegar’ dengan berita ini.

Hari ini 24 Mac. Cuma dalam masa 6 hari. Hiruk-pikuk, porak-peranda, boikotan politik, perang mulut sesama dan antara bangsa, penghinaan sesama dan antara agama yang berlaku bagaikan menghapus segala usaha tok nenek kita yang berusaha gigih membangun tanah ini dengan penuh kasih sayang, semangat harmoni dan toleransi yang tinggi.

Tambah tak molek, ia turut disusuli dengan permainan sentimen di media sosial, sama ada oleh pihak yang menyokong mahupun yang membantah perlaksanaan undang-undang ini.

Ada yang saling mengkafirkan sesama sendiri.

Ada pula yang bertindak mengeluarkan ancaman-ancaman berbentuk jenayah (yang sebenarnya kalau PDRM nak tangkap mereka dan kenakan pertuduhan, cukup bukti untuk mendakwa).

Jika diperhatikan betul-betul, untuk memahami isu ini, terlalu banyak perkara untuk dihadam, banyak juga faktor semasa yang perlu diperhatikan.

Oleh itu, WartawanAwam.com ingin mengajak warga Malaysia untuk sama-sama memahami isu ini dengan cara balik kepada asas.

Sambil orang bertanya kepada saya, saya juga sempat tanya pada mereka, apakah mereka sudah baca rang undang-undang yang dibentangkan?

Majoriti menjawab, mereka membuat penilaian berdasarkan apa yang dilaporkan di media massa, termasuklah portal media, blog, akhbar, mesej di whatsapp, dan yang sewaktu dengannya.

Saya berpendapat, ini satu tindakan bahaya. Jika betul mahu mengambil sebarang keputusan, fahamilah dahulu apa yang nak diputuskan.

Jadi saya fikir, mungkin ramai yang belum baca rang undang-undang ini kerana tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya.

Dengan bantuan rakan peguam saya, beliau tolong download dan kongsi dengan saya salinan ini.

Di sini saya lampirkan pautan dropbox untuk dua dokumen penting berkaitan hal ini.

1. Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015

2. Perlembagaan Persekutuan

Tidak kira apa juga pendapat anda, saya harap dengan membaca dan memahami kedua-dua dokumen ini, keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta.

Semua orang mahukan yang terbaik.

Kita doakan yang baik itu berjaya akhirnya.

Ali Imran

Wartawan Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *