Selamat Tinggal Dr. Tan Seng Giaw. Berehatlah.

Selamat Tinggal Dr. Tan Seng Giaw. Berehatlah.

Walaupun menang lapan kali berturut-turut kerusi parlimen Kepong, kini tiba masa kita ucapkan selamat tinggal kepada (bekas) Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw.

Menang di Kepong sejak 1982, Dr. Tan menjadi kesayangan rakyat di parlimennya kerana sikap dan cara pembawakan dirinya.

Aku sempat temubual Dr. Tan sewaktu tempoh berkempen #PRU13. Beliau baru selesai ceramah di Brickfields, jam menunjukkan pukul 11.45malam.

Kerana tiada tempat duduk yang elok (lepas acara, orang sedang kemas dewan dan sebagainya) beliau dengan selamba cadang “di sini pun boleh'” sambil memandang bahu jalan betul-betul sebelah tempat kami berdiri.

Maka selama hampir satu jam, kami duduk di atas batu yang lebarnya mungkin satu per empat daripada saiz punggungku.

Di sekitar kami, orang ramai lalu-lalang menderu keluar, sesekali disuluh headlight kereta keluar masuk dan sekali-sekala ada yang menyapa beliau dan bersalaman.

“Gila cool orang tua ni,” getus hatiku.

Kami bincang macam-macam hal. Aku paling suka jawapan dia bila aku tanya macam mana dia menangi hati orang Kepong.

“I am not too worried (about election). All I want to focus is to do the same thing I have been doing since 1982 that is to continue serving the people.”

Menurut Dr. Tan, amat penting untuk seseorang Ahli Parlimen sentiasa dirasai kehadirannya oleh masyarakat.

Untuk itu, beliau ada cara unik.

“How do they (people) know that I am there? You know my car (Toyota Hilux), it has a loudspeaker at the back.”

“If I go to Kepong, everybody knows. I don’t have to speak, people will know by the presence of my car,” cerita beliau.

Dr. Tan akan pastikan kenderaannya ada semua jenis borang untuk bantuan masyarakat.

Bila dia lalu satu-satu tempat dan nampak ada ramai orang, dia berhentikan kenderaan, naik ke belakang Hilux, pasang pembesar suara dan dua akan uar-uarkan keberadaannya di situ.

Di saat itu juga kalau ada yang ada masalah, beliau bantu apa yang mampu dan majukan permasalahan itu kepada pihak berwajib.

Beliau guna teknologi untuk komunikasi dengan pengadu. Status aduan akan diberitahu menggunakan SMS.

Semua ini bukan dibuat lima tahun sekali, tetapi secara konsisten dari masa ke masa sepanjang memegang amanah.

Maka tidak hairanlah pada PRU 13, beliau menang besar dengan jumlah majoriti paling tinggi dalam sejarah dirinya iaitu dengan lebih 40,000 undi!

Di dalam DAP, Dr. Tan terkenal sebagai orang yang tidak takut bersuara terhadap barisan kepimpinan parti.

Sepanjang kekecohan melibatkan 1MDB, kita dapat lihat sendiri percanggahan pendapat antara beliau dengan Tony Pua.

Tony Pua menghentam pihak 1MDB manakala Dr. Tan mempunyai sudut pandang berbeza.

Keadaan ini amat menarik kerana kedua-dua mereka adalah orang kuat DAP dan kedua-duanya ada dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Situasi ini tidak menyenangkan parti.

Bukan setakat DAP, tapi mana-mana parti pun baik Umno atau PAS pasti tak akan senang duduk bila ada dua anggotanya saling bercakaran, dengan liputan media yang meluas, betul?

Pada Jun 2017, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu pihak media bahawa Dr. Tan tidak dapat dihubungi parti sejak awal 2017. Bahasa Inggerisnya – ‘incommunicado’.

Dr. Tan dengan pantas membakul sampahkan tuduhan itu dengan berkata satu-satunya sebab beliau tidak dapat dibungi adalah bila sedang bercakap di telefon (engaged).

Tambah beliau, setiap panggilan telefon akan dijawab sambil mempersoal sejauh mana pihak parti cuba menghubunginyan adakah hanya dengan sekali panggilan telefon sahaja?

Seperti dijangka, parti DAP tidak lagi menyenaraikan Ahli Parlimen Kepong Dr. Tan Seng Giaw untuk mempertahankan kerusinya pada PRU14.

Apa sebab sebenarnya, aku tak tahu. Cuma banyak pihak melihat ia adalah akibat perbuatan Dr. Tan yang tidak sehaluan dengan parti.

Daripada sudut pandang berbeza, boleh jadi DAP mahu membariskan calon-calon yang lebih muda (Dr. Tan sudah lebih 70 tahun). Jadi tidak hairanlah perubahan di buat.

Lim Lip Eng akan bertanding di Kepong kali ini. Umurnya baru 45.

Maka aku ucapkan selamat berehat kepada Dr. Tan Seng Giaw. Terima kasih atas segala jasa selama 36 tahun ini.

Sesi temubual dengan Dr. Tan adalah antara sesi terbaik aku pernah lalui dan aku abadikan dalam buku ‘No PC No Jolok’.

Buku ini masih dijual, boleh hubungi pihak Thukul Cetak di talian 017-3632143 untuk pembelian dan penghantaran terus ke rumah anda.

Ali Imran
Wartawan Awam

Kredit gambar Dr. Tan – FreeMalaysiaToday

x x x

Sehingga 8 Ogos 2018, post ini telah menerima 1.3k ‘Like’, 377 ‘Share’ dan 194 komen di Facebook.

Lihat artikel asal di Facebook melalui pautan di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *