Di suatu negara yang letaknya di atas Pentas Sunda, sedang berlaku pemilihan siapakah yang bakal memegang tampuk pemerintahan.

Di suatu negara yang letaknya di atas Pentas Sunda, sedang berlaku pemilihan siapakah yang bakal memegang tampuk pemerintahan.

Beberapa sosok mencuba nasib mereka. Setiap mereka punya asbab merasakan merekalah yang paling layak memerintah.

Negara Tenggara sudah lama merdeka daripada tangan-tangan VOC dan EIC. Negaranya makmur, bertumbuh pesat setiap hari.

Namun manusia tetap tidak pernah puas. Rakyat negara Tenggara sentiasa mencari sebab dan alasan untuk mengatakan negara mereka terburuk di dunia.

Bila ada yang ke negara Jimur dan lihat orang-orang di sana amat berdisiplin, rakyat negara Tenggara akan keji negara sendiri.

Bila lihat pedidikan percuma di Binland, sekonyong-konyong rakyat Tenggara membakul sampahkan bayaran tidak sampai nilai nota kertas ungu yang mereka bayar.

Sambil rakyat Tenggara memaki negara sendiri, rakyat-rakyat dari Hindonesia, Mangladesh, Byanmar, Dhailand, Vohingya dan orang Arab terbuang sanggup menngadai nyawa demi mencari kehidupan selesa di tanah Tenggara.

Tanda syukur kepada rezeki Tuhan kepada mereka, dikerjakannya tanah ini sesungguh mungkin.

Kerjaan tanah itu mendatangkan hasil. Lalu hasil itu dibuat modal pusing untuk menambah kerja kepada tanah, lalu ia terus memberi hasil.

Daripada jual karpet mereka kini buka mini market, restoran dan terbaharu mereka tapau habis jualan di Lazadan, Shopeeng dan 12veStreet.

Sambil semua aktiviti ekonomi ini berlaku, rakyat Tenggara masih meratap meratib keburukan negara sendiri di laman maya pencuri data bernama Restbook, Congstagram dan Uwekter.

Daripada 24 jam yang ada sehari, 8 jam mereka hidup di Restbook. Kalau tidak di telefon tangan, mereka muncul melalui desk dan lap-top milik syarikat tempat mereka mencari rezeki.

Kembali kepada cerita, pada waktu ini, majoriti rakyat Tenggara sibuk memikirkan siapa yang akan dipilih menjadi Bendahara nanti.

Setakat ini ada dua calon popular iaitu Hang Timbang dan Hang Bunga. Pilihan kurang popular adalah Hang Bulan dan Hang Genggam.

Hang Bunga asalnya tok guru kepada Hang Timbang tetapi sebab Hang Timbang tak mau ikut cakap, dia pun merapatkan diri dengan Hang Mata, Hang Roket dan Hang A.

Pendek cerita, sang Raja pun dah naik rimas. Rakyat jelata ini semakin hari semakin tidak tenteram.

Macam mana nak tenteram? Geng sokonng Hang Bunga dan Hang Timbang bertarung siang dan malam.

Tak kiralah sama ada di gerai minum, dalam Restbook mahupun sambil mengebumikan mayat, sambil tutup liang lahat, sempat mereka berbahas.

Segala tuduhan melulu, fakta ciptaan ala mi segera, maki-memaki semuanya ada.

Meja-meja minum sudah banyak yang patah kerana tidak tahan ditepuk tanpa henti. Kerusi sudah banyak menjadi burung yang berterbangan di angkasa.

Bapak dan anak tidak sehaluan lagi. Grup Kossap keluarga ramai yang ‘left group’ sebab asyik-asyik ada orang forward ‘info’ yang katanya ‘dari bilik sebelah’.

Jadi sang raja akhirnya buat perintah. Siaran akhbar ke seluruh pelusuk negara.

Semua rancangan TV baik drama Suamiku Encik Stokin, Hiburan Minggu Lalu mahupun filem Tamil Sayadappa semuanya dihentikan seketika.

Radio-radio juga sama. Hos-hos yang buat lawak dan gelak sendiri semua diperintahkan benam kepala dalam pasir.

Restbook, Congstagram mahupun Uwekter semuanya di’block’ SKMT buat sementara.

Lalu tiba saat yang dinanti. Sang Raja melangkah ke rostrum bercecah jata negara.

Jelas dapat dikira jumlah belang pada badan dua ekor harimau itu. Siap boleh buat pickup line pula.

“Rakyatku sekalian” titah Sang Raja.

“Beta faham semua orang bertukus lumus nak naikkan calin pilihan mereka ke jawatan Bendahara beta. Tetapi keadaan semakin jadi tak terkawal.”

“Beta mahukan Bendahara yang boleh buat kerja. Yang positif. Yang berakhlak mulia. Yang jujur. Yang adil kepada rakyat semua.”

“Justeru selepas memikirkan semasak-masaknya, beta memutuskan untuk menggubal cara berkempen bagi semua calon dalam pemilihan ini.”

“Barangsiapa yang ingkar, mereka akan automatik ‘disqualified’ dan pihak lawan mereka akan menang percuma jawatan Bendahara itu.”

Sang Raja berhenti sekejap. Diteguk air mineral di depan mata.

“Kepada calon-calon Bendahara iaitu Hang Timbang, Hang Bunga, Hang Genggam dan Hang Bulan serta semua calon-calon lain yang beta tak sebut seperti Hang Kelapa dan sebagainya,

Mulai saat ini anda semua diharamkan daripada mengeji pihak lawan.”

Lantas semua hang yang hadir tersentak. Kalau mereka tak boleh kutuk pihak lawan, macam mana mereka nak guna taktik politik kebencian untuk memenangi undi?

“Beta titahkan semua calon Bendahara hanya boleh berkempen dengan cara memuji pihak lawan. Barang siapa yang paling banyak memuji, orang itulah yang beta akan perkenan menjadi Bendahara yang baharu, walaupun bagi Hang Bunga dahulu dah puas dah 22 tahun jadi Bendahara kan…”

Hang Bunga mengangguk. Fakta itu tidak dapat disangkal. Walaupun sudah tua Hang Bunga merasa dia masih kuat untuk berkhidmat. Jadi dia bertanding lagi.

“Titah ini juga terpakai kepada seluruh rakyat jelata. Sesiapa yang ingkar, beta beri kuasa penuh kepada hulubalang untuk tampal mulut mereka dengan selotep,” titah Sang Raja lagi.

Sebaik siaran langsung itu tamat, Hang Bunga memerhatikan Hang Timbang. Hang Timbang membalas tenungan Hang Bunga.

Dari mata turun ke hati. Barulah mereka berdua terkenang pengalaman indah mereka berdua suatu ketika dahulu.

Mata masing-masing sudah bergenang air. Tiba-tiba Hang Timbang bangun, berjalan ke arah Hang Bunga.

Mereka bersalaman, berpelukan erat ibarat sahabat yang sudah lama tak berjumpa.

“Hang Bunga, kau memang guru yang baik. Aku jadi pandai hari ini sebab didikan kau…” kata Hang Timbang.

“Hang Timbang anak muridku sayang, janganlah kata begitu. Aku bangga kau dapat amalkan segala yang aku ajar dahulu dan semoga kau juga nanti akan capai Visi2050 kau dengan adanya kereta terbang,” balas Hang Bunga.

Sekali lagi mereka berpelukan, diiringi esakan dan tangisan.

Bagi semua ‘hang’ lain yang hadir, mereka sudah mula nampak runtuhan impian di depan mata.

“Jual kacang putih ajalah kita….” ucap Yapfizi yang turut dikenali sebagai Hang Tuduh.

Sekian.

Ali Imran
Wartawan Awam

*cereka ini hanya rekaan. Tiada kaitan antara orang hidup, mati, dah nak mati mahupun mana-mana negara di dunia di Galaksi Bima Sakti ini

x x x

Sehingga 8 Ogos 2018, post ini telah menerima 134 ‘Like’, 30 ‘Share’ dan 64 komen di Facebook.

Lihat artikel asal di Facebook melalui pautan di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *