Berceritalah. Itu kerja Sang Wartawan.

Berceritalah.

Kerja wartawan sebenarnya hanya satu – STORYTELLER.

Wajib untuk wartawan mengutip cerita di sekitarnya dan dimadah dalam bentuk penceritaan yang mudah dihadam.

Jadi amat penting bagi semua wartawan untuk menguasai ilmu storytelling. It is a part of the job.

Bercerita gaya wartawan perlu main dengan tiga perkara:

1. Fakta
2. Suasana (sensitiviti)
3. Pembaca

Ambil contoh, waktu pembentangan Belanjawan tempoh hari, apa yang wartawan buat –

Meja am – Dapatkan reaksi orang ramai dan ahli politik dan orang berpengaruh dalam masyarakat

2. Meja jenayah – Dapatkan reaksi orang ramai, Ketua Polis, Panglima Angkatan Tentera, Bomba, Pertahanan Awam dan lain-lain

3. Meja sukan – Pastilah dapatkan komentar atlet, jurulatih, persatuan sukan dan peminat sukan.

4. Meja ekonomi – Mother of all desk. Merekalah proses ucapan Menteri Kewangan, analisa segala nombor dalam itu, buat perbandingan angka lama dan angka baru, tentukan angka yang mana paling penting di’highlight’.

Di Bernama ada wartawan meja ekonomi yang siap kena kuarantin dikurung dalam satu bilik tak boleh keluar sampailah habis tugasan. Makan minum pun orang hantar weh!

Contohnya tentang bantuan RM 200 kepada anak baru lahir, jenis berita yang boleh terbit adalah:

a. Hard news – ‘Menteri Kewangan hari ini membentangkan pemberian RM 200 kepada anak ….’

b. Soft news – ‘Sambil mengusap-usap perutnya yang semakin sarat mengandung, Siti Azura meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan akan kepentingan tabungan generasi akan datang…’

c. Analisa – ‘Pemberian dana RM 200 ini didapati akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 459% dan meningkatkan rizab simpanan dalam negara….’

Paling penting untuk aku nyatakan di sini, semua benda yang aku sebut di atas, kau orang boleh buat sendiri.

Berceritalah wahai kawan-kawan. Tiada orang lain yang boleh menulis kisah kau melainkan diri kau sendiri.

Ali Imran
Wartawan Awam
*gambar waktu buat liputan Bersih 5 tahun lalu

7 Elemen Asas ‘Press Kit’ Produk Buku (Artikel sempena PBAKL 2015)

press kit star wars

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 akan berlangsung daripada 24 April hingga 3 Mei. Satu acara yang ditunggu-tunggu oleh para penggiat industri perbukuan, khususnya para pemain tempatan.

Inilah antara waktu yang paling ‘afdhal’ untuk mejual jenama buat pemain kecil, memperbesar ‘tribe’ pada yang masih belum dikenal serta ‘statement’ pengukuhan jenama buat budak besar dalam industri.

Antara aktiviti biasa dilangsungkan untuk mencapai maksud di atas termasuklah pelancaran buku, sesi diskusi panel, sidang media dan sebagainya.

Daripada pemerhatian saya sebagai pengamal media merangkap peminat pesta buku, ada satu perkara yang boleh ditambah baik oleh para pempamer PBAKL 2015.

Sediakan pek media, nama glamornya ‘Press Kit’.

Tak kisahlah jika ada atau tak ada media yang dijadualkan berkunjung ke booth anda. Sediakan sahaja. Kalau tiba-tiba ada wartawan menjengah, dah tak kelam-kabut.

Di sini saya kongsikan teknik menyedia press kit untuk produk berasaskan buku.

Ini adalah formula yang saya fikir sendiri berdasarkan pemerhatian dan pengalaman menulis artikel berbentuk komentar/promosi buku.

Jadi jika ada sebarang kekurangan atau sesuatu yang tidak kena, saya harap bolehlah berikan saya tunjuk ajar.

Boleh emel saya di aliimran.mn@gmail.com.

Short and sweet, here we go!

Elemen 1 – Kenyataan Akhbar

a. Sediakan satu artikel berbentuk berita. Panjang kira-kira satu setengah muka surat dalam format spacing 1.5.

b. Masukkan info semua perkara yang anda mahu highlight kepada pihak media, tapi tidak perlu terlalu terperinci.

Elemen 2 – Teks Ucapan/ Talking Points

a. Kiranya ada pelancaran buku, biasanya ada ucapan. Masukkan teks ucapan dalam kit.

b. Pilihan lain ialah menggantikan ia dengan talking points. Sebenarnya tiada beza sangat antara keduanya tetapi dalam talking points, biasanya ada diselitkan ruang untuk pengucap masukkan idea mereka sendiri, yang tiada dalam teks.

c. Dokumen ini juga boleh digunakan sebagai wartawan untuk dijadikan ‘quote’ untuk dimuatkan dalam artikel, meskipun si wartawan dan penulis tak berpeluang bersua muka.

d. Ditulis dalam format double spacing. Mudah untuk wartawan catat maklumat tambahan jika perlu.

 Elemen 3 – Sinopsis Gaya Kacak

a. Sinopsis berbentuk karangan masih relevan. Cuma janganlah sampai 4 muka surat.

b. Menambah nilai perkara di atas, saya mencadang dimasukkan elemen ‘Gaya Kacak’ iaitu dimasukkan petikan-petikan menarik daripada buku, sebagai contoh:

“Kekuatan kepada semangat kerja berkumpulan terletak kepada ketua yang menjadi nahkoda. Jika nahkoda lemah, kapal akan diambil alih kelasi bernafsu durjana” ~ (Bab 4 – Kekuatan Pasukan, muka surat 45)

c. Carilah beberapa petikan daripada buku untuk diguna. Yang penting, petikan-petikan yang diguna boleh memberi gambaran kasar tentang konten dan jalan cerita dalam buku anda.

Cadangan saya, peruntukkan antara satu atau dua muka surat dalam format 1.5 spacing.

d. Kenapa ini perlu? Sejujurnya berapa ramai wartawan yang sanggup hadap baca buku dari kulit ke kulit semata-mata untuk tulis satu berita yang mungkin panjangnya 10 perenggan.

Jika anda bernasib baik, mungkin beliau tulis dalam bentuk rencana, satu muka penuh akhbar saiz Kosmo/Metro/Sinar pun baru dalam 800 patah perkataan.

Mudahkan urusan mereka. Dua-dua pihak dapat untung.

Nota:
1. Penulis buku, bila ditemuramah wartawan, elakkan jawab “Kalau encik nak tahu, semuanya saya dah masukkan dalam buku ini, encik boleh baca.”

For some, that is such a turn off.

2. Penerbit mungkin rasa dengan menyediakan synopsis cara begini, takut nanti isi buku mereka bocor, nanti orang tak mahu beli. Di sinilah perlunya kebijakan menyusun info menggunakan teknik ‘show, don’t tell’.

Elemen 4 – Profil penulis dan Gambar

a. Profil penulis dipecah kepada dua bahagian. Bahagian pertama tentang peribadi beliau. Bahagian kedua tentang kerjaya penulisan beliau/ maklumat lain yang menampakkan sisi professional beliau.

b. Gambar, minima 3 ‘angle’

– Mugshot (muka sahaja)

-Pose dengan buku

-Pose dengan pembaca/ peminat/ fan club (yang menampakkan beliau bersama orang ramai)

c. Semua gambar dalam saiz minima 8 megapixel

d. Semua gambar disimpan dalam bentuk CD-ROM, dilabelkan.

Elemen 5 – Latar Belakang/ Butiran Syarikat

a. Profil syarikat

b. Aktiviti syarikat

c. Senarai kejayaan yang dicapai

Elemen 6 – Digitalkan semua yang di atas

a. Selain dicetak, semua info dari item satu hingga enam dimuatkan juga dalam CD (yang sama dengan kita guna untuk item 4.d di atas)

b. CD ini WAJIB dilabel dengan nama majlis/buku/penerbit

c. Lebih cantik jika diberi kaver.

d. Untuk tujuan menjimatkan kos, anda boleh standby mungkin 5 set media kit yang dicetak. Tapi CD biar ada banyak. Kalau-kalau diperlukan, anda boleh terus edarkan CD ditambah dengan elemen 7 (cenderahati) dan semua orang dapat maklumat yang sama.

Elemen 7 – Cenderahati

a. Bukan semua wartawan pentingkan cenderahati, tapi kebanyakannya akan senyum bila rasa dihargai.

b. Saya cadangkan, kalau nak beri buku, cukup sebuah. Nanti mereka nak kena ke gerai lain, dapat hadiah lain pula. Takut kalau pek media anda terlalu besar/berat, nanti susahkan wartawan pula.

* * *

Ini dahulu yang sempat saya kongsi. Boleh tinggalkan komen jika anda ada sebarang perkara nak dikatakan/nak ditanya.

Jika artikel ini bermanfaat bagi anda, saya mohon untuk klik butang ‘Like’ di bawah.

I too, need some motivation and encouragement to keep on writing. Your comments and Likes are my fuel.

Sampai jumpa lagi.

Ali Imran

Wartawan Awam

#Maklumat Gambar – Press Kit yang saya idam-idamkan. Kredit laman http://theswca.com/relics/prerelease/presskit.jpg

5 Teknik Mencatat Nota Ucapan VIP

Sudah lama saya tidak kongsikan tips, hari ini ada peluang singkat untuk digunakan.

Semalam saya hadir ke pelancaran kamus Bahasa Inggeris terbaharu terbitan Oxford University Press – Oxford Advanced Learner’s Dictionary, edisi kesembilan.

Hadir merasmikan majlis pelancaran ialah Timbalan Menteri Pendidkan Kedua, YB P. Kamalanathan.

Terdahulu, saya mahu kongsikan bahawa YB menteri mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia yang baik. Beliau bertutur kedua-dua bahasa dengan tatabahasa dan sebutan seakan ia bahasa pertama beliau.

Sekarang saya kongsikan teknik yang saya guna sewaktu catat nota ucapan beliau:

 

1. Dapatkan Teks Ucapan

Secara logik, tak mungkin kita mampu mencatat setiap patah kata yang diucapkan dengan segera. Mungkin ada di antara kita yang punya kebolehan itu, tapi sekurang-kurangnya saya tidak mampu melakukannya.

Jadi, amat penting untuk seseorang wartawan untuk mendapatkan teks ucapan VIP. Penganjur acara perlu ambil berat perkara ini kerana masih ada yang terlepas pandang tentangnya.

Untuk acara semalam, penganjuran acara diuruskan oleh syarikat PR ternama, jadi teks ucapan sudah dimasukkan dalam kit media.

Kulit teks ucapan seperti dalam gambar.

 photo 20150326_110459_zpszqnhtmnn.jpg

 

2. Guna Pen Bermata Saiz ‘Fine’ 0.7

Saya suka gunakan pen yang bermata kecil kerana:

a. Tak perlu tekan kuat untuk tulis, jadi tak perlu alas kertas dengan benda keras

b. Saiz mata pen yang kecil membolehkan saya menjimatkan ruang menulis

 

3.  Tandakan perenggan yang dibaca

Ya, memang ada teks ucapan, tapi tak semuanya dibaca oleh VIP. Mungkin mereka ada sebab tersendiri atau terlepas pandang, pada saya, jika ia tak dibaca maka tak ‘valid’ untuk dijadikan bahan penulisan.

Jika saya tulis pun, saya dapatkan pengesahan semula daripada penganjur dan tuliskan ia dalam artikel sebagai ayat penyata, bukan ‘quote’.

Sebaik sahaja VIP selesai baca sesuatu perenggan, tandakan ia supaya kita boleh ‘keep track’ dengan ucapan.

Contoh seperti di bawah:

 

 photo 20150326_110516_zpszd14yoou.jpg

 

4. ‘Underline’ Poin-poin menarik

Bila jumpa perkara menarik, saya buat seperti di bawah:

 

 photo 20150326_110628_zpsnp6jxzv6.jpg

 

5. Catat Poin ‘Genuine’ VIP

Pada saya, inilah bahagian ucapan yang sentiasa saya tunggu.

Biasanya akan ada ‘additonal insight’, maklumat kepakaran dan mungkin juga cerita sampingan yang boleh kita jadikan sebagai bahan dalam berita.

Ada masanya, perkara-perkara ini yang jadi bahan muka depan akhbar.

Bila VIP tambah poin sendiri, catatkan di ruangan tepi, dekat perenggan yang ditambah.

Biasanya teks ucapan VIP disediakan penganjur.

Maka waktu berucap, biasanya akan ada penambahan poin sendiri daripada VIP yang berucap.

Catatkan, atau anda akan menyesal jika terlepas poin menarik.

Di waktu inilah pen bermata ‘fine’ memainkan fungsinya dengan jaya!

 

 photo 20150326_110602_zpsecrol4bm.jpg

Itu dahulu yang sempat saya kongsikan hari ini.

Selamat mencuba.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota: Maaf kualiti gambar yang kurang memuaskan, doakan saya dapat beli iPhone 6 Plus segera 🙂

Harian Metro Terima Gambar Ihsan Pembaca

Berita baik untuk semua.

Jika anda berada di tempat kejadian sesuatu peristiwa, ambil gambar.

Guna telefon pintar juga boleh.

Kadang-kadang, kualiti biasa-biasa sahaja sudah cukup untuk membuat gambar anda terpampang di media massa.

Sebagai contoh, gambar ini:

Harian Metro - Gambar Ihsan Pembaca

 

Satu kejadian menggemparkan. Tidak semena-mena siling stesen LRT stesen Masjid Jamek runtuh.

Kenapa gambar ini penting?

1. Public Interest — Stesen LRT Masjid Jamek adalah satu daripada stesen paling sibuk. Berlaku situasi seperti ini, pasti orang mahu tahu jika ada orang cedera.

2. Tiada jurugambar di lokasi sewaktu ia berlaku. Gambar terbaik menunjukkan keadaan sebenar runtuhan adalah penting kerana kalau nak tunggu jurugambar berita sampai, mungkin kesan-kesan runtuhan sudah dibersihkan.

Kenapa gambar ini baik?

1. Tells a story by itself — Nampak tangga, siling yang runtuh, kesan runtuhan, dan pintu masuk ke LRT, yang ada tulisan ‘Masjid Jamek’.

2. Ada figur hidup — Ada batang tubuh anggota polis bantuan (kalau saya tak salah), yang menghidupkan gambar.

Bayangkan kalau gambar ini diambil tanpa batang tubuh abang kacak kita ini? ya ia tetap akan memberi gambaran tempat kejadian tapi gambarnya ‘plain’, kurang hidup.

Apa info yang perlu disertakan bila menghantar gambar sebegini?

1. Jika penghantar gambar boleh masukkan data kejadian sebagai kapsyen, seperti

– Info asas (tarikh, masa, lokasi)

– Jumlah mangsa terlibat (jika ada)

– Komen pihak berkuasa (kalau mereka tak mahu komen pun, tulis sebagai contoh ‘pihak pengurusan stesen tidak/enggan (jika mereka nyatakan enggan) memberi sebarang komen sehingga siasatan penuh dilakukan’.

Nota: Laman FB Bernama Radio 24 juga terima gambar-gambar sumbangan pembaca. Yang lebih menarik, BR24 suka letak nama penghantar gambar 🙂

 

Sekian,

Ali Imran

Wartawan Awam

Foto Di Tempat Awam. Bagaimana?

 

 photo 1f3b51b1-3a0a-459c-a253-4bd0eb5cfba8_zps6v7sihtm.png

Semalam saya baca perkongsian di atas, oleh rakan saya yang berkecimpung dalam bidang pelancongan di Jepun, saudara Kamal Zharif Bin Kamaludin.

Melalui FB page beliau ‘Jom P Japan’ (https://www.facebook.com/jompjapan?pnref=lhc) , beliau banyak berkongsi tentang tips perjalanan dan survival jika anda mahu ke negeri matahari terbit ini.

Jika anda beragama Islam, untuk pengetahuan anda Kamal Zharif adalah pemain aktif dalam pasaran homestay Muslim dan makanan halal di tempat lahirnya Son Goku, Kurosaki Ichigo dan Kakashi-sensei ini.

Jadi Kamal kongsikan di dinding FB beliau, tentang cabaran melaksana street photography di sana. Ujar beliau, orang Jepun sangat ambil berat tentang hak privasi mereka dan jika salah langkah, anda boleh diheret masuk kes polis.

Selain mendapat lebih 22 ‘Like’, pengguna FB, Dayang Fatin Nurhazziqah berpendapat, mengambil gambar secara senyap dan pantas adalah satu cara yang boleh digunakan.

Dalam komentar lain, En CT pula seperti patah hati dengan keadaan ini dan seperti putus asa dengan peluang untuk ‘street photography’ di Jepun.

Saya agak suka dengan komentar Dzulhaidy Abdul Rahim yang menyatakan,

“Kalau orang dewasa ok lagi.. yang perlu berhati-hati adalah gambar kanak-kanak.. yang itu kena betul-betul berjaga-jaga dan kalau teringin nak ambil gambar seelok-eloknya minta kebenaran ibubapa nya.. dan kalau boleh jangan senang-senang tegur kanak-kanak.. kalau ada ibubapa, sapa ibubapa mereka dulu.. touching is a no-no… be safe peeps..”

Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah, bagaimana seseorang wartawan menghadapi cabaran seperti ini?

Adakah ia benar-benar berlaku?

Saya cuba kupas secara umum dahulu melalui poin-poin di bawah.

1.The Risk Is Real

Ya, memang kami tak boleh nafikan, memfoto sesuatu situasi di kawasan awam memang datang dengan risiko.

Risiko boleh wujud dengan bentuk administratif atau dalam bentuk sentimen.

Risiko administratif adalah seperti kawasan-kawasan larangan foto seperti dalam hospital, kawasan aset keselamatan negara dan mungkin juga dalam kilang pemprosesan yang dilindungi hak-hak berkaitan ‘intellectual property’.

Yang saya pernah lalui sendiri ialah seperti sewaktu Bernama TV ambil video saya di hospital menunggu proses laporan polis mengenai kematian anak saya, Aryaan Hafizh, memasuki kawasan sensitif ketenteraan Zimbabwe, duduk dalam ‘race pit’ pasukan F1 Mercedes-Petronas (enjin kereta yang sampai skru pun dilindungi IP terbentang di depan mata) dan masuk ke kilang memproses herba yang cipta satu-satunya mesin pembancuh herba paling baik di dunia.

Risiko administratif, senang nak di jangka. Jika tak boleh foto, larangan akan terpampang besar-besar ataupun akan diingatkan oleh tuan rumah berkali-kali. Kita tinggal patuh sahaja.

(Ya, ada larangan yang sengaja dibuat-buat, tapi mari kita jangan gaduhkan hal itu untuk episod ini)

Yang lebih memeningkan kepala ialah risiko berasaskan sentimen.

Ya, tiba-tiba sahaja ada orang boleh tak suka kita ambil gambar dia dan cuba ‘enforce’ peraturannya itu kepada kita.

Contoh yang betul-betul berlaku pada saya ialah pada Oktober 2005, berhampiran Wisma Yakin, Kuala Lumpur. Saya sertakan ‘quote’ dari blog lama saya.

 

 photo aa49104f-e69c-4750-b2a7-c92aa3b75b83_zpsilbrqwm3.png

“encountered a scene whereby people from DBKL was confiscating a beg seller. maybe it was the permit issues.

situation was tight, the guys at least 3 of them was arguing with 2 officers. so i snapped 2 shots. the 2nd shot was the unlucky one. one of the guys realized that, ran towards me and started to accuse me. his friends later came along.

later i found out that they were immigrants from indonesia from the way they talk. the dialect, i mean.

one of the fella tried to grab my camera off, but i was holding it tight. later i told him (yes, i lied to him) that i was just looking at pictures in my camera, which happen to be my torn adidas stan smith shoes. showed him that picture, gave a straight face, and started to walk off.

i know for a fact that if i stay longer, i might get beaten up. one of them later asked him to let me go, so i just continue walking. damn, that was close.”

2005, buat kali pertama saya ada kamera sendiri dan amat ingin jadi photo-journalist. 2011, impian itu tercapai selepas masuk pelbagai simpang yang macam-macam.

 

2.How Do We Deal With It?

A – Prinsip

Pertama sekali, fahamilah bahawa secara umum, apa sahaja yang berada di kawasan awam, adalah ‘halal’ untuk difoto.

B – Pengecualian terhadap prinsip

B.1 – – Tanya diri anda sendiri. Jika anda berada di tempat subjek yang difoto, adakah anda rela dan selesa difoto sedemikian?

Sekiranya was-was, maka ada baiknya jika anda dapatkan kebenaran subjek untuk difoto. Ya, mungkin anda akan hilang shot cantik tadi, tapi saya percaya, Tuhan akan gantikan dengan shot yang sama atau lebih baik lagi.

B.2 – – Jika anda memfoto sesuatu tragedi, anda tiada pilihan lain melainkan terus melaksanakan tugas. (Takkan nak pergi tanya dulu mangsa kemalangan yang sedang tersepit, bolehkah foto beliau dalam keadaan itu, betul?)

Pun begitu, tetapkanlah niat untuk merekod peristiwa dan bukan untuk mengaibkan sesiapa, saya yakin anda akan dapat shot yang baik tapi dalam masa sama tidak mengundang spekulasi atau provokasi yang tidak diingini.

C – Equipment

Gunakan perkakasan/alat/peranti yang sesuai. Di waktu inilah, lensa tele memainkan peranan penting.

Kemampuan zoom memberikan jurufoto ruang dan peluang merakam gambar yang baik dan dalam masa yang sama, memberi ruang dan peluang kepada subjek untuk merasa selesa dan selamat dalam zonnya sendiri.

Satu cabaran menggunakan DSLR ialah masalah bunyi. Setiap kali diketip shutter, setiap kali itulah bunyi refleks single lens itu akan kedengaran.

Ada masanya, kita dapat dekat dengan subjek tapi sebab bunyi ‘klik’ itu, subjek akan perasan dan mungkin akan tukar ‘pose’ yang sudah tidak menarik lagi.

Di Bernama, ada beberapa jurufoto yang sudah ambil inisiatif sendiri mengatasi masalah ini dengan membeli kamera yang sesuai, guna duit poket sendiri.

 

 photo Fuji X100T_zpstox6dg1s.jpgSumber gambar –  Google Images

Yang mereka cadang kepada saya ialah kamera ‘fixed lens’ Fuji 100XT. (Review)

Semoga perkongisan ini memberi manfaat.

 

.Lihat.Faham.Beritakan.

Ali Imran

Wartawan Awam

Kebenaran vs. Sangkaan

Selamat pagi semua.

Saya mohon maaf kerana senyap selama beberapa ketika. Masuk gua untuk bertapa buat sementara.

Pagi ini saya kongsikan perihal perbuatan berkongsi/forward/share/reblog dan sebagainya informasi yang datang melayang ke peranti pintar kita, tanpa mengesahkan dahulu tahap ‘reliability’ informasi tersebut.

Seakan sudah jadi trend pada hari ini, pelbagai pihak suka berkongsi info melalui ‘chat’ group. Boleh jadi ia di Facebook, Twitter dan boleh jadi juga menggunakan platform sembang seperti Telegram dan Whatsapp.

Antara info yang sering dikongsi ialah berkenaan hal agama, isu semasa, gosip, kesihatan, teori konspirasi, politik, tips-tips kesihatan, nombor telefon orang-orang terkenal, propaganda, dan tidak lupa juga kadang-kadang ada juga yang cerita perihal dalam kain diri sendiri.

Saya tak mahu sentuh berkenaan perkongsian informasi peribadi. Ertinya, jika anda sendiri ada tulis sesebuah mesej dan menghantarnya, saya letakkan tanggung jawab pengesahan info kepada si penulis.

Hari ini saya nak sentuh tentang perkongsian info yang melayang masuk ke peranti anda kemudian anda baca, mungkin faham, mungkin tak faham, benar atau tidak pun anda tak pasti, kemudian kerana rasa ‘tanggung jawab’ anda rantaikan ia kepada orang/grup lain/

Ini adalah satu tindakan yang AMAT bahaya.

Saya mudahkan penjelasan dalam bentuk poin.

 

1.Menjatuhkan imej individu/organisasi

Setiap perkara yang anda kongsikan, menggambarkan tahap pemikiran anda.

Jika anda kongsi hal-hal yang membina minda, maka anda adalah seorang pembina.

Jika anda kongsi hal-hal yang tahyul-mahyul, itulah diri anda.

Anda mempertaruh imej diri anda, dan jika sosok tubuh dan nama anda juga mewakili mana-mana orgnisasi, percayalah bahawa ia juga akan terpalit juga dengan imej yang anda bina.

 

2.Amaran Tuhan

Waktu saya terjun ke bidang kewartawanan, saya diberi amaran oleh sesepuh.

“Bidang ini, sebelah kaki sudah berada di neraka,” katanya.

Jadi saya tanya, bagaimana untuk mengelak dari jatuh ke dalam api yang membara.

Jawab beliau, rujuklah kitab suci Al-Quran, surah ke 17 (Al- Israa) ayat ke 36.

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya

Saya fikir, ayat di atas menerangkan dengan jelas inti yang saya mahu sampaikan dalam poin ini.

Ini adalah prinsip asas. Buat hanya benda yang kita tahu. Yang kita tak tahu atau tak pasti, jangan buat. Tuhan akan soal kita semula nanti.

 

3.Menimbulkan persepsi situasi yang salah

Kita kongsi berita tentang MH370 tanpa tahu pun apa sebenarnya berlaku.

Ahli keluarga mangsa, sampai hari ini bergenang air mata dengan info tambahan yang tidak perlu.

Kita kongsi berita tentang situasi banjir, tanpa tahu apa sebenarnya berlaku.

Pasukan penyelamat terpaksa mengarahkan aset-aset mencari mayat yang dikatakan bergelimpangan dan tersangkut di pokok, tanpa jumpa satu mayat pun.

Kononnya si polan bin si polan masuk Islam selepas lihat magik itu dan magik ini, bila disiasat, ternyata tidak benar.

Yang tercalar ialah imej agama Islam dan para penganutnya.

Ini tidak adil buat mereka yang terlibat dalam isu ini.

Ia mungkin tidak kena pada batang hidung kita sendiri, sebab itu mudah benar kita sebar berita.

 

4.Sangkaan tidak layak mengatasi kebenaran

Ada yang sangka, konsep ‘shoot first, explain later’ adalah cara terbaik.

Kemudian bila ditegur, mereka kata, tindakan mereka itu tak salah.

“Alah, kalau ya pun berita itu tak benar, kita bersangka baik sahajalah, ini doa kita,” kata pengikut tegar fahaman ini.

Pengikut tegar yang lain pula kata “Kalau betul, macam mana?”

Saya bangkang pendapat ini.

Konsep ‘kalau’ adalah terlalu rapuh untuk dijadikan kayu sandar kepada tindakan yang boleh mendatangkan impak yang lebih besar (dalam kebanyakan masanya, impak buruk).

 

5.Contoh buruk kepada generasi akan datang

Anda mungkin rasa anda sedang/sudah melakukan sesuatu yang baik. Tapi sebenarnya tidak. Anda sedang menunjukkan kepada anak cucu anda bahawa itulah contoh dan tauladan yang anda mahu mereka ikuti.

Nanti bila anda semakin matang dalam berfikir, boleh jadi anda juga yang akan bangkit menyatakan kesalahan sesuatu fakta/cerita yang dikongsi.

Pada waktu itu, jangan terkejut jika nanti anak cucu anda akan menunding jari kembali kepada anda, menyalahkan anda kerana andalah yang mereka tiru.

 

Bagaimana mengatasi masalah ini?

1. Siasat

Jika telefon kita boleh menerima mesej Whatsapp, maksudnya ia ada sambungan internet.

Laburlah sedikit masa untuk ‘google’ informasi itu. Pilih sumber yang berkredibiliti. Bukan portal yang suka guna tajuk menarik tapi isi belum tentu benar semata-mata untuk terik trafik.

 

2. ‘Bite your tongue’

Gigit lidah, bila anda tahu apa yang anda akan cakap, tidak pasti status benarnya.

Tahan jari daripada tekan butang forward/share, jika anda masih 50-50 tentang kesahihan berita/cerita.

 

Sekian dahulu.

Ali Imran

Wartawan Awam

House Style – 7 Elemen Asas.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya asyik kena karate dengan editor sebab masalah yang dipanggil ‘house style’.

Pastinya kena marah, sebab sudah empat tahun bekerja, tapi masih buat kesalahan.

Kalau house style Bernama tidak diikuti, nanti berita yang ditulis akan hilang identiti ke-Bernama-an-nya.

Inilah yang perlu dijaga editor.

House style Bernama ialah ibarat kulit yang menampakkan rupa agensi ini di mata dunia.

Apakah kulitnya cerah, gelap, sawo matang, albino dan sebagainya, struktur kulit inilah yang membolehkan pembaca mengenal berita yang ditulis Bernama atau orang lain.

Ia tak boleh diubah-ubah sesuka hati seperti artis K-Pop mengubah wajah guna pembedahan plastik.

 

APA ITU HOUSE STYLE?

 

Ruangan ‘grammar’ di about.com menafsir house style sebagai, satu cara spesifik yang diikuti penulis dan editor untuk memastikan hasil konsisten daripada sesebuah organisasi penerbitan.

Penerbitan itu, tak kiralah sama ada akbar, majalah, jurnal, laman sesawang atau buku. Cuba anda perhatikan, semuanya ada cara dan gaya penulisan tersendiri.

Kalau ikut saya, saya menafsirkan begini:

“House Style adalah satu cara untuk buat rumah penerbitan dilihat sebagai satu batang tubuh, dan penulisannya sebagai suara. Setiap terbitan yang dikeluarkan punya suara, gaya bahasa, penggunaan terma, lingo yang sama meskipun ia ditulis oleh 100 orang yang berbeza.”

~Ali Imran, 6 Feb 2015~

Cuba anda ambil Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro, dan Kosmo! (untuk akhbar Bahasa Melayu) dan ambil The Star, New Straits Times, dan The Edge.

Letak semua akhbar Bahasa Melayu sebelah menyebelah, buat perkara sama untuk akhbar Bahasa Inggeris.

Pertama, baca setiap akhbar dari kulit ke kulit. Perasan tak, ‘suara’nya sama sahaja. Gaya penulisan dari awal ke akhir semua sama. (Tolak tepi artikel yang diimport dari agensi berita)

Kedua, perhati betul-betul lenggok penulisan mereka. Anda akan lihat, setiap mereka punya cara tersendiri sama ada dari sudut pandang berita (news angle), struktur bahasa, pemilihan perkataan, penggunaan perkataan adaptasi daripada bahasa asing, dan sebagainya.

Inilah antara elemen yang membentuk ‘house style’ untuk sesebuah penerbitan.

Jika anda berhajat untuk menulis untuk mana-mana organisasi, pasti mereka akan memberi penjelasan tentang house style mereka yang anda perlu patuhi.

Melainkan anda seorang kolumnis. Biasanya ada diskaun di situ. Kebanyakan kolumnis mahu artikel mereka membawa ‘suara’ mereka seolah-olah mereka sedang berbicara dengan pembaca. Jadi mereka tak mahu artikel mereka terikat dengan stail rumah penerbitan.

 

CONTOH DI BERNAMA

 

Saya dididik Bernama, maka saya boleh kongsi tentang house style Bernama.

Ada kemungkinan ia punya keserupaan dengan penerbitan akhbar/berita lain tapi itu biasa.

After all, it is still a news. How much could it differ from one to another?

Sebenarnya untuk kupas dan bahas tentang house style, memang panjang tapi saya sentuh yang paling asas untuk hari ini.

Kita lihat gambar di bawah.

 photo 0b684302-8696-452a-bd73-59ef274e18cb_zps2b23b681.jpg

Komponen House Style Bernama:

1. Tajuk

– Tidak lebih 8 patah perkataan

2.‘Dateline’

– Struktur yang digunakan Bernama ialah :

[Bandar Besar tempat berita berlaku] + [Tarikh] + [Nama Organisasi] + [pemisah dateline dengan berita guna tanda ‘-‘ sebanyak dua kali]

3. Intro

– Menjawab semua soalan-soalan ‘WH’

4. Quote

– Butir kata daripada sumber

5. Isi

– Apa sahaja penjelasan mengenai berita yang disampaikan. Boleh jadi fakta, kronologi acara, dan sebagainya

6. Maklumat Tambahan

– Apa sahaja yang menguatkan isi berita. Dalam sesetengah situasi, kita masukkan latar belakang kejadian yang berlaku supaya pembaca boleh ‘recall’ sejarah sesuatu kejadian.

7. Nama Bernama di hujung berita

– Ini adalah bahagian yang akan dikekalkan oleh pengguna berita Bernama bila dimasukkan dalam akhbar/majalah/laman sesawang atau apa sahaja penerbitan mereka, untuk memberi kredit kepada Bernama sebagai sumber berita.

 

Setakat ini dahulu perkongsian hari ini.

Selamat menikmati hujung minggu yang gembira!

 

Ali Imran

Wartawan Awam

 

Sumber:

1. About.com

2. Bernama.com

 

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Agensi Berita vs Syarikat Berita: Persamaan Dan Perbezaan

image

Selamat Pagi.

Hari ini kita bincang tentang institusi-institusi berkaitan berita yang ada di negara ini, yang juga merupakan gambaran asas terhadap struktur pemberitaan di negara-negara lain di seluruh dunia.

Topik ini dicadangkan oleh guru penulisan saya, saudara Zamri Mohammad.

Sehingga hari ini saya masih disoal orang, “Bernama ada surat khabar?” “Di mana nak baca berita daripada Bernama?” Dan kalau orang yang ada sedikit kefahaman tentang Bernama boleh jadi akan tanya “bila berita ini akan keluar di akhbar?”

Maka saya akan ulanglah jawapan yang bakal anda baca dalam artikel ini, cuma bila jelaskan dalam masa yang pendek ayat-ayatnya mestilah lebih ringkas tetapi padat.

Kita mulakan.

 

PENGENALAN

Kamus dalam talian Merriam Webster mendefinasi fungsi agensi berita dengan cara paling ringkas dan tepat.

 photo 98de1619-dbf6-44e0-9ad6-f3979b99140e_zps5508dc55.png

(Rujukan di http://www.merriam-webster.com/dictionary/news%20agency)

Terjemahan: Organisasi yang mengumpul dan memberikannya berita kepada akhbar, majalah, program-program berita televisyen dan stesen-stesen radio.

Melihat ini, cukup untuk membuat kita faham bahawa surat khabar yang kita baca setiap pagi, berita jam 8 malam yang kita tonton dan hebahan berita di radio yang kita dengar, sumbernya daripada agensi-agensi berita.

Cuba dengar berita di radio pagi ini. Pasti akan disebut ‘Sumber daripada (sebagai contoh) Bernama, Reuters dan Bloomberg)

Bila baca surat khabar, tiba-tiba di hujung artikel atau berita, ada nama agensi-agensi berita. Boleh jadi Bernama, AFP, Reuters, Bloomberg atau lain-lain nama.

Apa pula fungsi syarikat berita?

Mereka juga menjalankan fungsi mencari berita. Tidaklah semua berita dikaut daripada agensi-agensi.

Tapi ada sesetengah berita yang memang akan dirujuk kepada agensi. Akan kita sentuh sebentar lagi.

 

KENALI BERITA DARIPADA AGENSI

Agensi berita tidak punya suratkhabar sendiri. Sekurang-kurangnya, tiada yang saya tahu.

Kebanyakannya menggunakan platform laman sesawang sebagai ‘rak’ mempamer berita yang boleh diambil oleh para pelanggan untuk dimuatkan dalam akhbar/program tv/program radio mereka.

Semua akhbar utama di Malaysia, baik bercetak ataupun dalam talian adalah pelanggan perkhidmatan Bernama.

Cara nak kenal berita dari Bernama, AFP, Reuters dan sebagainya, amat mudah. Lihat sahaja di hujung artikel yang and abaca. Kredit akan diberi kepada sumber seperti contoh dalam gambar-gambar di bawah.

 photo nst28jun13_bernama_zpsbca3e531.jpg
Kredit: http://www.pestech-international.com

Ataupun lihat di mana-mana pada berita, pasti akan ada ditulis, sumber berita itu dari siapa.

 photo 7833c298-a2db-494b-bbdb-d67ace6eed4f_zpsa89d381c.png

 

AGENSI BERITA

Ada dua jenis agensi berita. Pertama, yang menjadi suara rasmi sesebuah negara dan kedua, akibat sistem yang diamalkan di negara tempat ia bertapak, lebih berorientasikan keuntungan.

Kebanyakan agensi berita yang mewakili sesebuah negara tidak menjadikan keuntungan sebagai motif utama. Boleh jadi, ia adalah satu jabatan yang dibentuk oleh sesebuah negara.

‘Cash cow’ untuk agensi berita biasanya tertumpu pada jualan berita dan gambar. Ada juga usaha lain untuk buat duit.

Agensi berita seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama – www.bernama.com ) adalah contoh agensi berita yang mewakili negara. Bernama adalah sebuah badan berkanun, ditubuhkan kerajaan Malaysia melalui Akta Parlimen 1967.

Tapi jika sesuatu berita dikeluarkan Bernama, ia lebih dipercayai dan berita yang dikeluarkannya ada ‘insuran’ daripada kesalahan.

Negara-negara lain yang turut mempunyai agensi berita adalah seperti:

(Senarai agensi berita di Wikipedia – http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_news_agencies )

Kedua, agensi berita yang tidak berasaskan negara.

Contoh mudah yang saya boleh beri ialah AFP (http://www.afp.com/ ) dan Reuters (http://www.reuters.com/ ).

Fungsi mereka tidak jauh berbeza daripada agensi berita yang berasaskan negara cuma mereka tidak semestinya mewakili suara negara asal mereka (dalam kes ini, AFP dari Perancis dan Reuters dari England kerana ia bersifat ‘self-sustained’.

Ia bermotifkan keuntungan melalui penjualan berita, langganan, iklan, dan sebagainya.

Tidak jauh beza dengan syarikat berita tapi sebab berita keluaran mereka digunapakai banyak pihak, maka mereka bertaraf agensi juga.

 

SYARIKAT BERITA

Motif utama sesebuah syarikat berita ialah keuntungan atau menyampaikan sesuatu mesej berdasarkan kepentingan pemilik syarikat.

Mereka turut menjalankan proses mencari berita, tetapi hanya untuk kegunaan syarikat mereka sahaja.

Sebagai contoh, kumpulan The New Straits Times Press yang memiliki akhbar New Straits Times, Berita Harian, dan Harian Metro akan memastikan jualan akhbar-akhbar jenama mereka mendapat jualan yang tinggi untuk syarikat.

Perkara sama dilakukan Kumpulan Utusan yang memiliki Utusan Malaysia, Kosmo! dan Kumpulan Media Karangkraf yang memiliki Sinar Harian.

Ketiga-tiga kumpulan ini bersaing untuk mendapat jualan tertinggi. Pelbagai strategi diguna.

Persaingannya memang gila.

Akhbar-akhbar seperti Harakah, Roket dan 1Suara pula antara contoh penerbitan yang fokusnya untuk menyampai berita mengikut kepentingan pemilik syarikat.

 

KENAPA AGENSI BERITA PENTING UNTUK SYARIKAT BERITA?

Saya jelaskan melalui tiga poin utama

1. ‘Burden of blame’

Dalam sesebuah pemberitaan, perkara yang paling ditakuti ialah bila berlaku kesalahan dalam sesebuah laporan.

Ini boleh menjejaskan reputasi sesebuah syarikat berita. Nak kena siarkan ralat, dan mimpi paling ngeri seseorang editor atau wartawan ialah jika kesalahan berita itu jadi kes mahkamah.

Jadi bila ada berita yang mungkin berisiko untuk disiarkan, mungkin kerana sumber yang tidak jelas atau ada percanggahan pada sumber, berita yang dikeluarkan agensi menjadi sandaran.

Kalau pun ada kesalahan, akhbar yang menyiarnya tidak boleh dipersalahkan. Sebaliknya agensi berita yang mengeluarkan berita asal yang dipertanggung jawabkan.

Sebab itulah, di pihak agensi berita, ada berita yang dikeluarkan lambat. Puas dah berita di tv, radio dan website syarikat berita ulang berita itu tapi kami di agensi masih lagi tidak siarkannya.

Biasanya, ini berlaku bila kami sendiri tidak dapat sahkan kesahihan berita.

Terutama bila ada mengaitkan dengan kematian, memang ada masa, berita di Bernama lambat.

Nak kena pastikan, apa betulkah orang itu mati.

Sebab pernah jadi, media lain semua lapor mati, Bernama cari berita, gali sana-sini tengok-tengok si empunya diri masih bernyawa lagi.

Kadang-kadang, empunya diri itu nazak, dimasukkan ke ICU, ada yang ‘nakal’ sebarkan kata sudah meninggal dunia.

Kes terbaharu, mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz pun ada yang sebar konon beliau sudah ‘pergi’.

Bahaya, memang bahaya. Ia akan beri kesan emosi kepada pihak yang terlibat dan sudah tentu mencacatkan imej agensi itu sendiri

2. Akses Sumber

Ada masa, memang hanya beberapa pihak sahaja yang diberi akses kepada berita.

Contoh, waktu ketibaan jenazah korban tragedi MH17, hanya jurugambar Bernama yang dibenar masuk ke kawasan ketibaan jenazah.

Satu lagi, bila belanjawan negara nak dibentang, Bernama dapat teks Menteri Kewangan dahulu. Tapi ia akan dihadkan untuk dilihat hanya oleh pasukan yang terlibat menguruskan berita itu.

Mereka dikuarantin. Masuk dalam bilik tak boleh keluar. Makan minum akan dihantar masuk.

Sambil menteri baca teks, satu per satu berita berkenaan apa yang diumum menteri akan diterbitkan.

3. Penuhi Ruang

Ketahuilah, tidak mudah untuk memenuhkan setiap helai mukasurat dalam akhbar yang anda beli setiap hari.

Sebab itu, berita-berita daripada agensi juga membantu syarikat berita untuk memperbanyak bahan dan memperkaya pengisian tentang sesuatu isu.

Sebagai contoh, walaupun wartawan Berita Harian sudah menulis banyak berita tentang kehilangan pesawat MH370, berita daripada Bernama turut diambil dan dimuatkan dalam akhbar untuk menguatkan lagi berita-berita lain yang dimuatkan dalam isu sama.

 

BUAT PENULIS, APA YANG PENTING?

1. Tembusi akhbar sangat baik untuk bina nama dan sumber kewangan.

2. Tembusi agensi berita, sebagai orang awam, sukar sekali. Ruang yang dibuka amat kecil dan hanya untuk pihak yang dipercayai agensi sahaja.

3. Hari ini, sudah ada cara untuk mula dapatkan nama agensi, sebagai contoh Bernama. Melalui penghantaran gambar dan video ke Facebook Bernama. Sepengetahuan saya, tiada ganjaran wang, tapi kredit akan diberi kepada pemilik gambar melalui fungsi #

4. Ini amat baik untuk dimasukkan dalam profil anda.

 photo d4cf2b2f-af64-4440-9c09-b474756ba456_zps6bc7a351.png

 photo 4158d88d-eaed-4058-87be-4dd8f6b217e1_zps4970aebd.png

 

~ ~ ~

Cukup dahulu setakat ini.

Semoga bermanfaat.

Lihat.Faham.Beritakan.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

5 Topik Sedia Untuk Ditulis

 photo d0dd6d16-f8e3-4982-8973-ce25e5503a67_zps339c0c66.jpgEntah berapa ratus/ribu orang dah tulis tentang jambatan ini tapi ia tetap subjek segar penulisan bila sentuh tentang aktiviti pelancongan di negeri ini. [2014, Sabah]

 

*Aktiviti Pemanas Badan*

Sebelum kita pergi jauh, mari buat satu aktiviti.

Saya ajak anda semua untuk buka surat khabar hari ini, cari satu berita yang anda buat anda rasa macam ‘hak eleh…entah apa-apalah berita ini, benda macam ini pun nak dijadikan berita?’

~ ~ ~

Salam pagi yang indah.

Semalam kita bincang tentang 3 langkah untuk menulis berita.

Bagi saya, tiga perkara yang dibincangkan semalam iaitu rencah penting dalam berita, mudahkan bentuk penulisan untuk pembaca dan pinggirkan fahaman peribadi tidak dapat di ketepikan dalam semua bentuk penulisan.

Soalannya sekarang, mungkin yang jadi misteri bagi kebanyakan kita ialah:

“Nak tulis tentang apa?”

Haha, ini menarik. Sepanjang 24 jam kita hidup setiap hari, banyak perkara yang kita lalui, orang yang kita jumpa, situasi yang kita lihat.

Tapi yang mana sesuai dijadikan berita?

Saya jawab begini sahaja:

“Semua benda boleh dijadikan berita.”

~ ~ ~

Sebenarnya, ia bergantung kepada kita sebagai penulis. Sesuatu yang kecil, jika ada yang sudi mengangkatnya sebagai bahan berita, maka ia akan jadi sebuah berita.

Lihat makcik jual nasi lemak di tepi jalan. Pasti ada cerita tentang kegigihan beliau berniaga yang boleh anda tulis.

Atau mungkin juga tentang sambal ikan bilisnya yang amat sedap,

Atau mungkin tentang keramahannya melayan pelanggan,

Boleh jadi juga, tentang anak daranya yang cantik molek tidak segan bantu ibu bapa berniaga walaupun lulusan ijazah luar negara.

Ianya benar-benar bergantung kepada kita.

Kalau kita tertarik pada sesuatu perkara, pasti ia boleh diangkat sebagai berita.

~ ~ ~

Untuk ramai di antara kita yang mungkin tidak pernah menulis berita, saya cadangkan satu prinsip untuk anda pegang.

“Mula dengan apa yang ada di tangan”

Prinsip ini dipopularkan oleh guru-guru bidang perniagaan, membawa erti bahawa untuk memulakan perniagaan, tak perlu nak terus cari benda besar, modal besar, liabiliti besar untuk digelar usahawan.

Kalau ada Rm 50 dalam tangan sekali pun, gunalah RM 50 itu sebagai modal pemula. Dari situ, kita bergerak perlahan-lahan.

Sama juga dengan penulisan berita, mari kita mulakan dengan apa yang ada di tangan.

Jadi di bawah ini, saya senaraikan 5 kelompok subjek yang boleh anda pilih.

Ini bukan senarai yang ‘absolute’. Jika anda punya subjek lain, silakan jalan terus.

Modal di tangan saya dan modal di tangan anda, pastinya berbeza.

~ ~ ~

5 Subjek Pemula

1. Random Act Of Kindness

Tindakan orang berhati mulia yang kecil-kecil seperti orang bantu warga emas lintas jalan, orang bantu haiwan yang dalam kesengsaraan, atau perbuatan-perbuatan yang dirasakan sesuai dengan subjek ini.

2. Kejayaan/ Kisah Hidup

Perniagaan yang berjaya, usahawan kecil yang berusaha gigih, anak sekolah capai keputusan cemerlang, dan sebarang bentuk perkara yang di mata anda, sebuah kejayaan yang dicapai sesebuah organisasi atau individu.

Kisah Hidup pula serupa dengan kisah kejayaan, tapi tidak semestinya tentang kejayaan sahaja. Boleh jadi tentang datuk anda yang gigih mempertahan negara daripada penjajahan, boleh jadi juga tentang penyesalan seseorang tentang kesalahan yang pernah dilakukan.

3. Peristiwa/ Acara

Sebarang majlis seperti reunion old boys, hari keluarga, lawatan, seminar yang dilaksanakan, kempen-kempen, semuanya termasuk dalam kategori ini.

4. Trafik Jalanraya

Ia boleh jadi tentang kesesakan jalanraya, kemalangan, tanah runtuh bikin laluan terputus, dan yang sewaktu dengannya.

 Tambah nilai diri. Kalau dahulu kita jadi tukang tengok tapi sekarang kita turun lihat, dan tulis berita tentangnya.

Sangat baik jika kita ada platform hebahan setempat, seperti grup whatsapp sesama anggota kawasan kejiranan, grup motorsikal atau kereta yang sedang dalam konvoi.

5. Sukan

Sukan sekolah anak kita, atau perlawanan persahabatan antara department dalam pejabat kita dan apa-apa cerita yang sekufu dengan subjek ini, boleh dijadikan berita.

Kalau anak kita sertai (tak semestinya menang pun) acara cari gula-gula dalam tepung waktu hari keluarga pun, boleh kita tulis.

Lagi 20 tahun, anak kita akan dapat tahu berita tentang dirinya sendiri  🙂

 ~ ~ ~

Saya fikir, cukup setakat ini dahulu.

Doa saya, info yang diberi memberi manfaat, serta boleh mendorong pembaca untuk mula menulis.

 

Sampai jumpa.

 

Lihat. Faham. Beritakan.

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.