Doa Makbul

Syukur,

Doa saya semalam tentang artikel terbaharu agar disiar di akhbar berbahasa Melayu, diperkenan Tuhan.

Hari ini, Harian Metro siarkannya di ruangan Nuansa.

 

 photo 246c25c5-ac34-4a21-96a3-55595d90c6c0_zps93ada34c.jpg

Yang paling seronok, di muka sebelah, artikel tulisan warga grup ‘Wartawan Awam’, tok Penghulu Mohd Sharumnisham.

10377625_1018393424842257_7536622330587638263_nKredit Gambar: Mohd Sharumnisham

1925177_1018385434843056_2492244106915357187_nKredit Gambar: Mohd Sharumnisham

 

Kata pemilik gambar, si kecil dalam gambar di atas itu, anaknya 🙂

Kesimpulannya, dua artikel yang membawa mesej positif dapat tempat dalam akhbar yang sama, diletak bersebelahan pula.

Mari kita, terus menulis.

Tulis dan tulis.

Lihatkan pada dunia, yang baik-baik tentang kita.

Yang jahat, ramai dah yang tulis.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

Selepas Seminggu

 photo f75a479c-f8df-4749-ab77-beae74d1e931_zpseedd06a6.png

Prestasi kita di ranking Google selepas seminggu.

Berada di muka pertama carian.

Laman wartawanawam.wordpress.com di tempat keenam.

Artikel saya di SekolahPenulisan.com berada di mukasurat sama.

Saya ucapkan berbanyak syukur kepada Tuhan yang Maha Pemurah.

Rakan-rakan, mari kita teruskan perjalanan ini.

 

Lihat.Faham.Beritakan.

Ali Imran

Wartawan Awam

 

Nikmati Hidup Ini. Ia Indah.

image

Selamat Pagi,

Sambil ‘pekena’ Nasi Lemak Tanglin yang terkenal, minda saya sentiasa ingat pada anda semua.

Semalam, hari ini dan esok saya turun ke lapangan, temuramah pelbagai pihak untuk artikel berkaitan bisnes dan hal banjir.

Semalam, dari awal pagi hingga lewat petang saya di lapangan. Tiba di rumah, dah letih tinggal nak tidur sahaja. Maaf ya, tiba-tiba senyap.

Dalam perjalanan ke Arkib Negara, saya teringat pada tempat ini, dahulu biasa jadi singgahan waktu kerja di MISC.

image

“LIFE IS GREAT, ENJOY IT TO THE FULLEST!”

Sebagai tukang tulis cerita tentang manusia, terlalu banyak perkara yang melintas di depan mata yang pada saya, layak untuk dijadikan berita.

Cuma sayang, pada mata saya tiada kamera. Kalau ada Google Glass, mahu sahaja saya rakam semua detik manis manusia di dunia ini.

Tadi di Jalan Istana, polis trafik bantu penunggang motorsikal yang motornya rosak.

Bukan setakat bantu tolak motor (sesiapa yang merempit tahulah cara kita tolak motor kawan guna kaki) tapi siap ada ‘patrol car’ jadi pengiringnya.

Indah. Pagi saya sudah jadi lengkap melihat tindakan ihsan sesama manusia.

image

Sampai di sini, ada pula busker yang memang hebat.

Nama kumpulannya ‘Aucustica Buskers’.

Mereka mulakan dengan instrumental, kemudian baru nyanyi lagu-lagu lama.

Ada lagu Jeffrydin. Ada juga Saloma (wanita yang nerkaca mata hitam jadi penyanyi).

Ada juga lagu Inggeris.

Ada juga lagu Cina. Tajuknya ‘Pang You’ (kawan).

Sambil makan nasi lemak sedap. Alunan muzik yang lunak. Teringat pula kisah polis trafik tadi (di sini dekat dengan Bukit Aman).

Pagi ini amat indah.

Baik, saya kena pergi dahulu. Destinasi seterusnya, Arkib Negara Malaysia.

Ali Imran
Wartawan Awam

 

Jaga-jaga Konten Portal Berita

Kejadian ini berlaku kepada saya, pagi tadi.

Bermula dengan satu link yang dikongsi rakan saya (saya tidak kongsi namanya), berita tentang CEO Air Asia X diberitakan meletak jawatan.

 

 photo 11d5ad85-1dd8-4a50-a5e7-d20420cfcef0_zpsce1406b2.png

 

 

 photo AzranResignFalseNews_zpse991fdc1.png

Dengan berat hati, saya kongsi berita ini. Sedih. Kenapa?

Sebab saya pernah menjadi rakan sepasukan Azran dalam pertandingan Ultimate Frisbee (boleh Google untuk tahu betapa cool-nya permainan ini!).

Sebaik kongsi, seorang rakan yang juga ahli pasukan sama menegur, kenapa tajuk berita yang di dinding FB tidak sama dengan tajuk berita sebenar di laman web. Saya jadi pelik.

(Malangnya saya lupa nak screenshot status itu sebab tak rancang nak buat artikel ini).

Rupa-rupanya beliau berkata benar. Bila dilihat semula, memang isi artikel ini sudah berubah. Bahkan isinya seratus-peratus terbalik daripada artikel asal.
 photo AzranResignFalseNews-2_zps2a38e21f.png
Lihat pada URL kedua-dua gambar. Tidak berbeza.

Sudah pasti saya yang sudah pun ‘share’ berita ini di dinding FB saya, rasa terkilan kerana sudahlah ia berita tidak baik melibatkan orang yang saya kenal, pautan itu membawa kepada berita lain pula.

Mungkin The Rakyat Post cuba memperbaiki berita asal yang dikeluarkannya agar bila pembaca klik pada link yang sama, berita yang terbaru dapat dilihat, berbanding berita awal dengan laporan berbeza.

Jadi, apa yang saya buat?

Inilah tindakan saya:

 photo AzranResignFalseNews-AIBOretract_zps50d6cb73.png

~ ~ ~

Apa yang boleh kita pelajari daripada kes ini?

1. Sebelum share sesuatu link, baca dahulu isi kandungannya biar sama dengan maksud sebenarnya.

2. Dalam kecanggihan teknologi semasa, kandungan berita pun boleh berubah-ubah meskipun kita sudah simpan URL rujukan. Paling selamat, simpan screenshot untuk berita sensitif/sensasi yang anda jumpa.

3. Jika berlaku kesilapan, ambil tindakan sewajarnya. Selain padam info yang salah, cuba juga war-warkan tentangnya pada rakan-rakan. Supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu.

Sekian.

Lihat.Faham.Beritakan.

Ali Imran

Wartawan Awam

5 Topik Sedia Untuk Ditulis

 photo d0dd6d16-f8e3-4982-8973-ce25e5503a67_zps339c0c66.jpgEntah berapa ratus/ribu orang dah tulis tentang jambatan ini tapi ia tetap subjek segar penulisan bila sentuh tentang aktiviti pelancongan di negeri ini. [2014, Sabah]

 

*Aktiviti Pemanas Badan*

Sebelum kita pergi jauh, mari buat satu aktiviti.

Saya ajak anda semua untuk buka surat khabar hari ini, cari satu berita yang anda buat anda rasa macam ‘hak eleh…entah apa-apalah berita ini, benda macam ini pun nak dijadikan berita?’

~ ~ ~

Salam pagi yang indah.

Semalam kita bincang tentang 3 langkah untuk menulis berita.

Bagi saya, tiga perkara yang dibincangkan semalam iaitu rencah penting dalam berita, mudahkan bentuk penulisan untuk pembaca dan pinggirkan fahaman peribadi tidak dapat di ketepikan dalam semua bentuk penulisan.

Soalannya sekarang, mungkin yang jadi misteri bagi kebanyakan kita ialah:

“Nak tulis tentang apa?”

Haha, ini menarik. Sepanjang 24 jam kita hidup setiap hari, banyak perkara yang kita lalui, orang yang kita jumpa, situasi yang kita lihat.

Tapi yang mana sesuai dijadikan berita?

Saya jawab begini sahaja:

“Semua benda boleh dijadikan berita.”

~ ~ ~

Sebenarnya, ia bergantung kepada kita sebagai penulis. Sesuatu yang kecil, jika ada yang sudi mengangkatnya sebagai bahan berita, maka ia akan jadi sebuah berita.

Lihat makcik jual nasi lemak di tepi jalan. Pasti ada cerita tentang kegigihan beliau berniaga yang boleh anda tulis.

Atau mungkin juga tentang sambal ikan bilisnya yang amat sedap,

Atau mungkin tentang keramahannya melayan pelanggan,

Boleh jadi juga, tentang anak daranya yang cantik molek tidak segan bantu ibu bapa berniaga walaupun lulusan ijazah luar negara.

Ianya benar-benar bergantung kepada kita.

Kalau kita tertarik pada sesuatu perkara, pasti ia boleh diangkat sebagai berita.

~ ~ ~

Untuk ramai di antara kita yang mungkin tidak pernah menulis berita, saya cadangkan satu prinsip untuk anda pegang.

“Mula dengan apa yang ada di tangan”

Prinsip ini dipopularkan oleh guru-guru bidang perniagaan, membawa erti bahawa untuk memulakan perniagaan, tak perlu nak terus cari benda besar, modal besar, liabiliti besar untuk digelar usahawan.

Kalau ada Rm 50 dalam tangan sekali pun, gunalah RM 50 itu sebagai modal pemula. Dari situ, kita bergerak perlahan-lahan.

Sama juga dengan penulisan berita, mari kita mulakan dengan apa yang ada di tangan.

Jadi di bawah ini, saya senaraikan 5 kelompok subjek yang boleh anda pilih.

Ini bukan senarai yang ‘absolute’. Jika anda punya subjek lain, silakan jalan terus.

Modal di tangan saya dan modal di tangan anda, pastinya berbeza.

~ ~ ~

5 Subjek Pemula

1. Random Act Of Kindness

Tindakan orang berhati mulia yang kecil-kecil seperti orang bantu warga emas lintas jalan, orang bantu haiwan yang dalam kesengsaraan, atau perbuatan-perbuatan yang dirasakan sesuai dengan subjek ini.

2. Kejayaan/ Kisah Hidup

Perniagaan yang berjaya, usahawan kecil yang berusaha gigih, anak sekolah capai keputusan cemerlang, dan sebarang bentuk perkara yang di mata anda, sebuah kejayaan yang dicapai sesebuah organisasi atau individu.

Kisah Hidup pula serupa dengan kisah kejayaan, tapi tidak semestinya tentang kejayaan sahaja. Boleh jadi tentang datuk anda yang gigih mempertahan negara daripada penjajahan, boleh jadi juga tentang penyesalan seseorang tentang kesalahan yang pernah dilakukan.

3. Peristiwa/ Acara

Sebarang majlis seperti reunion old boys, hari keluarga, lawatan, seminar yang dilaksanakan, kempen-kempen, semuanya termasuk dalam kategori ini.

4. Trafik Jalanraya

Ia boleh jadi tentang kesesakan jalanraya, kemalangan, tanah runtuh bikin laluan terputus, dan yang sewaktu dengannya.

 Tambah nilai diri. Kalau dahulu kita jadi tukang tengok tapi sekarang kita turun lihat, dan tulis berita tentangnya.

Sangat baik jika kita ada platform hebahan setempat, seperti grup whatsapp sesama anggota kawasan kejiranan, grup motorsikal atau kereta yang sedang dalam konvoi.

5. Sukan

Sukan sekolah anak kita, atau perlawanan persahabatan antara department dalam pejabat kita dan apa-apa cerita yang sekufu dengan subjek ini, boleh dijadikan berita.

Kalau anak kita sertai (tak semestinya menang pun) acara cari gula-gula dalam tepung waktu hari keluarga pun, boleh kita tulis.

Lagi 20 tahun, anak kita akan dapat tahu berita tentang dirinya sendiri  🙂

 ~ ~ ~

Saya fikir, cukup setakat ini dahulu.

Doa saya, info yang diberi memberi manfaat, serta boleh mendorong pembaca untuk mula menulis.

 

Sampai jumpa.

 

Lihat. Faham. Beritakan.

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Butang Emosi Untuk Buat Anda Beli

rotan.transformed

Punyalah ramai yang marah dengan menteri ini.

Pendapat umum yang sempat saya lihat ialah ‘Dah macam di Sweden’, ‘Langgar perintah Allah’, ‘Perempuan kening marker pen’.

Berapa ramai yang terus terjun ke website BH untuk baca berita ini selepas baca tajuk besar?

Berapa pula yang terus bayar RM2 kepada tauke kedai sebab tertarik dengan tajuk ini?

Pandai editor yang buat ‘headline’ ini.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

 

Kredit gambar: www.bharian.com.my

3 Langkah Menulis Berita

 photo 4f1e64b5-2e8f-4e0a-91a2-9d2318689d1b_zps8fc91e33.jpg

“Jangan takut nak mula sebab belum pandai. Pelumba MotoGP pun ada masanya kena naik skuter juga” ~ Ali Imran (2014 – Grand Prix San Marino)

Mari kita mula kerja.

Pagi ini saya kongsikan tiga cara mudah untuk mula menulis berita.

Tak kiralah sepanjang atau sependek mana berita yang nak ditulis, siapa pun yang ditemuramah sebagai subjek, ini asasnya.

Ok, terus sahaja.

Pertama: Rencah Wajib Masakan

Tiga perkara wajib untuk dikutip dari lokasi berlakunya perkara yang nak diberitakan (selepas ini akan dirujuk sebagai ‘tempat kejadian’):

  1. Fakta

Gunakan prinsip soalan-soalan WH (what, where, who, when, why, how) untuk mendapatkan segala fakta perlu tentang kejadian yang berlaku.

Kayu ukur tanda semua soalan di atas terjawab ialah, bila ada orang tanya anda tentang apa yang berlaku, anda boleh cerita kepadanya dengan tepat tanpa sebarang ragu-ragu atau syak wasangka.

Lebih cantik, jika ia dapat dijelaskan mengikut tertib kronologi peristiwa, satu demi satu.

Di sinilah perlunya prinsip ‘Lihat’ dan ‘Faham’ yang cuba disemai melalui blog ini.

Untuk faham tentang sesuatu, anda perlu ‘lihat’ peristiwa itu berlaku.

‘Lihat’ tidak sentiasa bermaksud secara literal, sepasang mata anda terjojol melihat peristiwa.

Dalam kejadian seperti kemalangan di jalanraya, kebarangkalian untuk proses lihat secara literal berlaku, amat tipis.

Jadi, ‘lihat’ juga boleh berlaku macam yang anda selalu lihat dalam drama penyiasatan CSI. Anda tiba di tempat kejadian, lihat hasil atau impak daripada peristiwa yang berlaku. Dari situ, anda dapatkan maklumat daripada saksi atau ‘officer-in-charge’ menceritakan kronologi peristiwa.

Itulah proses ‘lihat’ yang anda lakukan. Barulah datang proses ‘faham’.

  1. Kata

Dapatkan kata-kata sebenar, dalam Bahasa Inggeris diistilah sebagai ‘quote’ daripada orang yang terlibat secara langsung dengan peristiwa yang berlaku.

Sumber yang layak biasanya pihak berkuasa yang menyelia peristiwa, jurucakap yang dilantik pihak penganjur acara, mangsa kejadian, atau saksi mata-kepala yang sanggup beri keterangan.

Cuba elakkan daripada guna saksi yang ‘kawan saya yang tengok tadi kata…’. Kalau saya sendiri pun, tak berani nak guna input daripada ‘saksi’ sebegini sebab jika tak kena gaya, kita yang ‘seksa’.

Sebagai wartawan, sekalipun kita pakar dalam sesuatu perkara tapi kita bukanlah orang yang ‘in-charge’ dalam peristiwa itu, pastikan topi ‘wartawan’ itu melekap atas kepala ketat-ketat.

  1. Mata

Dapatkan gambar. Supaya pembaca dapat juga melihat kejadian yang mata anda berpeluang lihat.

Kedua: Mudahkan Pembaca

Untuk mengelak daripada mengulas terlalu panjang tentang ini, saya beri tiga tips:

  1. Panjang ayat.

Setiap ayat yang ditulis, panjangnya pastikan dapat dibaca dalam satu nafas percakapan orang biasa. (Bukan macam adik berbaju yang nyanyi a..b..c..fa..so..la..ti..do.. dalam iklan Maxis 1-0)

  1. Isi setiap perenggan

Perenggan pertama cerita secara ringkas tentang kejadian yang berlaku menjawab semua soalan WH.

Perenggan kedua masukkan ‘kata @ quote’ daripada sumber.

Perenggan ketiga dan seterusnya, ikut kreativiti anda sendiri.

  1. Utamakan yang penting

Perkara paling penting di bahagian awal berita, perkara kurang penting di akhir berita. Perkara tak penting buang sahaja tak perlu masukkan dalam berita, buat semak otak pembaca.

Ketiga: Neutral Dari Fahaman Peribadi

Saya boleh jadi penyokong tegar pasukan Harimau Malaya (Auuummmm!!!) tapi bila tulis berita tentang perlawanan mereka dengan Thailand, jangan sampai pembaca dapat kesan perkara itu.

Sesebuah berita seharusnya melaporkan tentang sesuatu kejadian. Bukan mengulas bagaimana ia sepatutnya berlaku atau menyatakan sokongan atau kutukan tehadap sesuatu perkara.

Kita memberita, cerita apa yang berlaku. Pembaca yang tentukan apakah perasaan mereka selepas membaca berita itu.

Sebab itu di sebahagian potal berita atau blog, dah mula ada butang respon perasaan tentang berita yang disiarkan.

 ~ ~ ~

Ini sahaja perkongsian saya pagi ini.

Mulalah tulis berita pertama anda hari ini. Emelkan kepada saya: aliimran.mn@gmail.com atau tag saya pada berita yang anda tulis hari ini di FB.

Nanti saya beri komen.

Salam warta.

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Berkenalan Dengan Wartawan Awam

superman_transform

Anda masih ingat filem Superman zaman Christopher Reeve?

Watak Clark Kent dan Lois Lane yang elegan bekerja di Daily Planet. Berkot sepanjang hari, hatta waktu sedang kerja di lapangan pun masih berdandan cara sama.

Suasana dalam pejabat yang sentiasa berlatar belakangkan bunyi mesin taip dipetik laju, kertas-kertas berterbangan dan suara jerit menjerit dalam pejabat.

Ini suasana tahun 1978, pada tahun filem pertama Superman dikeluarkan.

Tahun 2002, filem Spiderman diterbitkan, boleh dikatakan ini adalah filem Spiderman yang pertama diterbitkan secara ‘serius’ kerana ia kemudiannya diikuti dengan beberapa siri  filem superhero ini beberapa tahun selepasnya.

Jika Clark Kent jadi wartawan, Peter Parker pula menjadikan kerjaya jurufoto sebagai sumber pendapatan.

Senarionya tidak jauh berbeza. Pejabat Daily Bugle juga dilapik dengan bunyi papan kekunci moden untuk menghidupkan suasana. Cuma kebanyakan ‘scene’ dibuat dalam pejabat Pak Editornya, J. Jonah Jameson.

parker_jameson

Seakan satu imej skeptik dicampak kepada industri ini, Pak Jameson pun kuat menjerit juga.

Jika anda tanya adakah ini keadaan yang saya hadapi tiap hari di tempat kerja, saya jawab, tidak dan ya.

‘Tidak’ kerana dalam kebanyakan masa saya tidak berdepan dengan situasi ini.

‘Ya’ kerana ada masanya, kena juga.

~ ~ ~

Soalan yang saya nak timbulkan di sini bukan bagaimana suasana kerja di agensi berita/syarikat akhbar, tapi nak ajak lihat, kenapa kerjaya ini dijadikan sebagai landasan menghidupkan watak?

Ya, betul apa yang ada fikir.

Kerjaya sebagai wartawan memudahkan pereka cerita untuk mengaitkan watak dengan situasi-situasi yang membolehkan beliau mendapat info segera tentang keadaan masyarakat.

Jadi bila ada situasi bahaya, senanglah dia nak masuk pondok telefon dan tukar baju. (Yang saya masih tak faham logiknya. Kalau ada orang beratur nak guna telefon, perempuan pula, nampak dia buka baju seluar, kan jadi satu hal lagi? Tak pasal-pasal timbul fitnah)

Peranan ini tak boleh dilakukan dengan kerjaya lain. Jika guna kerjaya polis, tentara atau bomba berpakaian seragam sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai.

Kalau peranan sebagai ahli muzik, ahli perniagaan, dan lain-lain, terpaksa guna gajet atau ‘informer’ tambahan. Kacaulah penyamarannya.

Jadi kerjaya yang paling ‘pass’, bak kata rakan-rakan Indonesia saya, ialah jadi tukang liput.

Berpakaian biasa, tapi boleh menyelit ke sini sana.

Orang tak perasan, orang pun tak marah kalau banyak tanya. Kadang-kadang orang lebih suka luah perasaan kepada wartawan berbanding pihak berkuasa.

Inilah kelebihan yang dipegang para pewarta. Tapi jaga-jaga, ‘with great power, comes great responsibility’.

~ ~ ~

Tetapi keadaan sudah berubah.

Kuasa memberita bukan lagi kuasa prerogatif orang-orang yang kerja di syarikat-syarikat media sahaja.

Kuasa internet dan media sosial mengubah landskap pemberitaan. Istilah ‘satu sumber itulah yang sah’ sedikit demi sedikit hancur dimamah perkembangan zaman.

Kali pertama saya lihat modem internet ialah waktu masih di sekolah rendah. Tumpang belajar Bahasa Arab di rumahnya.

Tidak pernah saya sangka perkataan ‘internet’ yang saya dengar waktu itu, kini jadi budaya hidup masyarakat.

Tahun 1998, krisis politik negara melanda bila Tun Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pangkat Timbalan Perdana Menteri.

Suara dan aura kemarahan orang-orang yang menyokong Anwar sangat terasa. Sangat kuat.

Maka website-website anti-Mahathir mula menjadi popular. Antara yang terkenal ialah ‘MahaZalim’, dan ‘MahaFiraun’. Itu dua nama yang saya masih ingat.

Sejauh mana benarnya info yang disampaikan, tidaklah diketahui juga. Tapi ia cukup ‘benar’ buat mereka yang mahukan aliran berita yang berbeza.

Pada waktu inilah senario media ‘arus perdana’ dan ‘arus alternatif’ bermula secara rasminya.

Memanglah sebelum itu, akhbar-akhbar seperti Harakah sudah lama jadi lidah rasmi kepada aliran alternatif politik negara.

Tapi pada pendapat saya, inilah situasi klimaks yang membelah industri berita kepada dua.

Situasi ini terus berlarutan hinggalah ke hari ini. Saya yakin anda sendiri fahaminya.

~ ~ ~

Apa tujuan kisah-kisah ini dibawa?

Hanya satu tujuan. Mahu membincangkan peranan KITA pada hari ini.

Penyebaran c(b)erita menjadi amat mudah, terlalu banyak landasan yang boleh diguna, tapi terlalu sikit pula method untuk mengawal penularan info yang tidak berwibawa.

Lihat sahaja waktu tragedi MH370 (pray for their safety ‘till end), aplikasi whatsapp menjadi landasan pertama menyebar berita yang entah apa-apa.

Kemudian ia merebak ke laman-laman sosial, lantas ia jadi berita hangat dunia.

Tanyalah diri anda kembali, berapa kali anda dapat mesej sama daripada orang-orang berlainan?

Kesahihan berita tidak diketahui, alih-alih nak selamatkan diri, letak ‘disclaimer’ konon “copy paste dari grup sebelah”.

Jika anda ahli keluarga mangsa, adakah informasi dari pihak tak bertauliah ini membantu menenangkan suasana?

Bagaimana pula dengan situasi masyarakat? Perasan tak, situasi jadi huru-hara?

Salah menyalahkan, perang antara pahlawan papan kekunci bermula.

Pada yang nak ambil kesempatan, mulalah keluar teori itu ini, tampal gambar macam-macam semata-mata untuk tarik trafik ke portal masing-masing.

Di mana nilai kita?

~ ~ ~

Jika nak dibahas secara akademik, memang panjang nak diulas.

Tapi inilah usaha yang nak dimulakan bersama.

Kita semua ada kuasa yang besar di hujung jari. Jangan fikir besar-besar, satu mesej yang anda taip kepada insan paling rapat, hanya untuk tontonan bersama pun boleh beri impak besar kepadanya.

Kalau nak fikir cara penguatkuasaan, ketatkan hukuman, penjara semua orang yang beri idea, tulis, sebar berita yang tidak sahih, memang tak habis kerja.

Cara yang paling mudah, ialah mulakannya dengan diri kita sendiri.

Wartawan Awam adalah orang yang sanggup bersama dalam usaha ini. Usaha kecil bermula hari ini, harapnya akan diserap jadi budaya warga Malaysia dan dunia, sedikit-demi sedikit.

Seperti ulat memakan daun, usahanya kecil, perlahan-lahan tapi konsisten. Sedar sahaja, daun dah habis dimakan.

Wartawan Awam sanggup menerima semua info yang sampai kepadanya. Tapi selepas itu dia yang tapis jika ia layak untuk disebar ke dunia massa.

Wartawan Awam sanggup dianggap tidak ‘cool’ kerana tidak ‘share’ sesuatu info di dinding FB dan akaun Insta-nya, ‘until they are convinced on the validity of the news’.

Di sinilah datangnya prinsip ‘Lihat – Faham – Beritakan’.

Saya fikir, lihat sahaja pada tiga perkataan ini, anda boleh tangkap ertinya.

Tapi untuk kebaikan bersama, nanti saya kongsi tentang geng tiga serangkai ini dalam penulisan-penulisan akan datang.

 clark kent_lois lane

Sampai jumpa.

 

Ali Imran
Wartawan Awam

Kredit gambar:

http://i1.cdnds.net

https://aspectratio.files.wordpress.com

http://wolkin.com