Butang Emosi Untuk Buat Anda Beli

rotan.transformed

Punyalah ramai yang marah dengan menteri ini.

Pendapat umum yang sempat saya lihat ialah ‘Dah macam di Sweden’, ‘Langgar perintah Allah’, ‘Perempuan kening marker pen’.

Berapa ramai yang terus terjun ke website BH untuk baca berita ini selepas baca tajuk besar?

Berapa pula yang terus bayar RM2 kepada tauke kedai sebab tertarik dengan tajuk ini?

Pandai editor yang buat ‘headline’ ini.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

 

Kredit gambar: www.bharian.com.my

3 Langkah Menulis Berita

 photo 4f1e64b5-2e8f-4e0a-91a2-9d2318689d1b_zps8fc91e33.jpg

“Jangan takut nak mula sebab belum pandai. Pelumba MotoGP pun ada masanya kena naik skuter juga” ~ Ali Imran (2014 – Grand Prix San Marino)

Mari kita mula kerja.

Pagi ini saya kongsikan tiga cara mudah untuk mula menulis berita.

Tak kiralah sepanjang atau sependek mana berita yang nak ditulis, siapa pun yang ditemuramah sebagai subjek, ini asasnya.

Ok, terus sahaja.

Pertama: Rencah Wajib Masakan

Tiga perkara wajib untuk dikutip dari lokasi berlakunya perkara yang nak diberitakan (selepas ini akan dirujuk sebagai ‘tempat kejadian’):

  1. Fakta

Gunakan prinsip soalan-soalan WH (what, where, who, when, why, how) untuk mendapatkan segala fakta perlu tentang kejadian yang berlaku.

Kayu ukur tanda semua soalan di atas terjawab ialah, bila ada orang tanya anda tentang apa yang berlaku, anda boleh cerita kepadanya dengan tepat tanpa sebarang ragu-ragu atau syak wasangka.

Lebih cantik, jika ia dapat dijelaskan mengikut tertib kronologi peristiwa, satu demi satu.

Di sinilah perlunya prinsip ‘Lihat’ dan ‘Faham’ yang cuba disemai melalui blog ini.

Untuk faham tentang sesuatu, anda perlu ‘lihat’ peristiwa itu berlaku.

‘Lihat’ tidak sentiasa bermaksud secara literal, sepasang mata anda terjojol melihat peristiwa.

Dalam kejadian seperti kemalangan di jalanraya, kebarangkalian untuk proses lihat secara literal berlaku, amat tipis.

Jadi, ‘lihat’ juga boleh berlaku macam yang anda selalu lihat dalam drama penyiasatan CSI. Anda tiba di tempat kejadian, lihat hasil atau impak daripada peristiwa yang berlaku. Dari situ, anda dapatkan maklumat daripada saksi atau ‘officer-in-charge’ menceritakan kronologi peristiwa.

Itulah proses ‘lihat’ yang anda lakukan. Barulah datang proses ‘faham’.

  1. Kata

Dapatkan kata-kata sebenar, dalam Bahasa Inggeris diistilah sebagai ‘quote’ daripada orang yang terlibat secara langsung dengan peristiwa yang berlaku.

Sumber yang layak biasanya pihak berkuasa yang menyelia peristiwa, jurucakap yang dilantik pihak penganjur acara, mangsa kejadian, atau saksi mata-kepala yang sanggup beri keterangan.

Cuba elakkan daripada guna saksi yang ‘kawan saya yang tengok tadi kata…’. Kalau saya sendiri pun, tak berani nak guna input daripada ‘saksi’ sebegini sebab jika tak kena gaya, kita yang ‘seksa’.

Sebagai wartawan, sekalipun kita pakar dalam sesuatu perkara tapi kita bukanlah orang yang ‘in-charge’ dalam peristiwa itu, pastikan topi ‘wartawan’ itu melekap atas kepala ketat-ketat.

  1. Mata

Dapatkan gambar. Supaya pembaca dapat juga melihat kejadian yang mata anda berpeluang lihat.

Kedua: Mudahkan Pembaca

Untuk mengelak daripada mengulas terlalu panjang tentang ini, saya beri tiga tips:

  1. Panjang ayat.

Setiap ayat yang ditulis, panjangnya pastikan dapat dibaca dalam satu nafas percakapan orang biasa. (Bukan macam adik berbaju yang nyanyi a..b..c..fa..so..la..ti..do.. dalam iklan Maxis 1-0)

  1. Isi setiap perenggan

Perenggan pertama cerita secara ringkas tentang kejadian yang berlaku menjawab semua soalan WH.

Perenggan kedua masukkan ‘kata @ quote’ daripada sumber.

Perenggan ketiga dan seterusnya, ikut kreativiti anda sendiri.

  1. Utamakan yang penting

Perkara paling penting di bahagian awal berita, perkara kurang penting di akhir berita. Perkara tak penting buang sahaja tak perlu masukkan dalam berita, buat semak otak pembaca.

Ketiga: Neutral Dari Fahaman Peribadi

Saya boleh jadi penyokong tegar pasukan Harimau Malaya (Auuummmm!!!) tapi bila tulis berita tentang perlawanan mereka dengan Thailand, jangan sampai pembaca dapat kesan perkara itu.

Sesebuah berita seharusnya melaporkan tentang sesuatu kejadian. Bukan mengulas bagaimana ia sepatutnya berlaku atau menyatakan sokongan atau kutukan tehadap sesuatu perkara.

Kita memberita, cerita apa yang berlaku. Pembaca yang tentukan apakah perasaan mereka selepas membaca berita itu.

Sebab itu di sebahagian potal berita atau blog, dah mula ada butang respon perasaan tentang berita yang disiarkan.

 ~ ~ ~

Ini sahaja perkongsian saya pagi ini.

Mulalah tulis berita pertama anda hari ini. Emelkan kepada saya: aliimran.mn@gmail.com atau tag saya pada berita yang anda tulis hari ini di FB.

Nanti saya beri komen.

Salam warta.

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.

Gajah Macam Kucing

 photo DSC_0614_zps97bd3bec.jpg

Salam Ceria!

#Flashback

2012

Bergambar dengan gajah liar di Zimbabwe.

Di sini gajah bebas berjalan merata. Macam kita lihat kucing  melata di sini, begitu juga mereka bebas hidup bersama manusia di sana.

Gajah yang ini sedang makan di tepi jalan, betul-betul sebelah pagar rumah orang.

Comel!

Berkenalan Dengan Wartawan Awam

superman_transform

Anda masih ingat filem Superman zaman Christopher Reeve?

Watak Clark Kent dan Lois Lane yang elegan bekerja di Daily Planet. Berkot sepanjang hari, hatta waktu sedang kerja di lapangan pun masih berdandan cara sama.

Suasana dalam pejabat yang sentiasa berlatar belakangkan bunyi mesin taip dipetik laju, kertas-kertas berterbangan dan suara jerit menjerit dalam pejabat.

Ini suasana tahun 1978, pada tahun filem pertama Superman dikeluarkan.

Tahun 2002, filem Spiderman diterbitkan, boleh dikatakan ini adalah filem Spiderman yang pertama diterbitkan secara ‘serius’ kerana ia kemudiannya diikuti dengan beberapa siri  filem superhero ini beberapa tahun selepasnya.

Jika Clark Kent jadi wartawan, Peter Parker pula menjadikan kerjaya jurufoto sebagai sumber pendapatan.

Senarionya tidak jauh berbeza. Pejabat Daily Bugle juga dilapik dengan bunyi papan kekunci moden untuk menghidupkan suasana. Cuma kebanyakan ‘scene’ dibuat dalam pejabat Pak Editornya, J. Jonah Jameson.

parker_jameson

Seakan satu imej skeptik dicampak kepada industri ini, Pak Jameson pun kuat menjerit juga.

Jika anda tanya adakah ini keadaan yang saya hadapi tiap hari di tempat kerja, saya jawab, tidak dan ya.

‘Tidak’ kerana dalam kebanyakan masa saya tidak berdepan dengan situasi ini.

‘Ya’ kerana ada masanya, kena juga.

~ ~ ~

Soalan yang saya nak timbulkan di sini bukan bagaimana suasana kerja di agensi berita/syarikat akhbar, tapi nak ajak lihat, kenapa kerjaya ini dijadikan sebagai landasan menghidupkan watak?

Ya, betul apa yang ada fikir.

Kerjaya sebagai wartawan memudahkan pereka cerita untuk mengaitkan watak dengan situasi-situasi yang membolehkan beliau mendapat info segera tentang keadaan masyarakat.

Jadi bila ada situasi bahaya, senanglah dia nak masuk pondok telefon dan tukar baju. (Yang saya masih tak faham logiknya. Kalau ada orang beratur nak guna telefon, perempuan pula, nampak dia buka baju seluar, kan jadi satu hal lagi? Tak pasal-pasal timbul fitnah)

Peranan ini tak boleh dilakukan dengan kerjaya lain. Jika guna kerjaya polis, tentara atau bomba berpakaian seragam sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai.

Kalau peranan sebagai ahli muzik, ahli perniagaan, dan lain-lain, terpaksa guna gajet atau ‘informer’ tambahan. Kacaulah penyamarannya.

Jadi kerjaya yang paling ‘pass’, bak kata rakan-rakan Indonesia saya, ialah jadi tukang liput.

Berpakaian biasa, tapi boleh menyelit ke sini sana.

Orang tak perasan, orang pun tak marah kalau banyak tanya. Kadang-kadang orang lebih suka luah perasaan kepada wartawan berbanding pihak berkuasa.

Inilah kelebihan yang dipegang para pewarta. Tapi jaga-jaga, ‘with great power, comes great responsibility’.

~ ~ ~

Tetapi keadaan sudah berubah.

Kuasa memberita bukan lagi kuasa prerogatif orang-orang yang kerja di syarikat-syarikat media sahaja.

Kuasa internet dan media sosial mengubah landskap pemberitaan. Istilah ‘satu sumber itulah yang sah’ sedikit demi sedikit hancur dimamah perkembangan zaman.

Kali pertama saya lihat modem internet ialah waktu masih di sekolah rendah. Tumpang belajar Bahasa Arab di rumahnya.

Tidak pernah saya sangka perkataan ‘internet’ yang saya dengar waktu itu, kini jadi budaya hidup masyarakat.

Tahun 1998, krisis politik negara melanda bila Tun Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pangkat Timbalan Perdana Menteri.

Suara dan aura kemarahan orang-orang yang menyokong Anwar sangat terasa. Sangat kuat.

Maka website-website anti-Mahathir mula menjadi popular. Antara yang terkenal ialah ‘MahaZalim’, dan ‘MahaFiraun’. Itu dua nama yang saya masih ingat.

Sejauh mana benarnya info yang disampaikan, tidaklah diketahui juga. Tapi ia cukup ‘benar’ buat mereka yang mahukan aliran berita yang berbeza.

Pada waktu inilah senario media ‘arus perdana’ dan ‘arus alternatif’ bermula secara rasminya.

Memanglah sebelum itu, akhbar-akhbar seperti Harakah sudah lama jadi lidah rasmi kepada aliran alternatif politik negara.

Tapi pada pendapat saya, inilah situasi klimaks yang membelah industri berita kepada dua.

Situasi ini terus berlarutan hinggalah ke hari ini. Saya yakin anda sendiri fahaminya.

~ ~ ~

Apa tujuan kisah-kisah ini dibawa?

Hanya satu tujuan. Mahu membincangkan peranan KITA pada hari ini.

Penyebaran c(b)erita menjadi amat mudah, terlalu banyak landasan yang boleh diguna, tapi terlalu sikit pula method untuk mengawal penularan info yang tidak berwibawa.

Lihat sahaja waktu tragedi MH370 (pray for their safety ‘till end), aplikasi whatsapp menjadi landasan pertama menyebar berita yang entah apa-apa.

Kemudian ia merebak ke laman-laman sosial, lantas ia jadi berita hangat dunia.

Tanyalah diri anda kembali, berapa kali anda dapat mesej sama daripada orang-orang berlainan?

Kesahihan berita tidak diketahui, alih-alih nak selamatkan diri, letak ‘disclaimer’ konon “copy paste dari grup sebelah”.

Jika anda ahli keluarga mangsa, adakah informasi dari pihak tak bertauliah ini membantu menenangkan suasana?

Bagaimana pula dengan situasi masyarakat? Perasan tak, situasi jadi huru-hara?

Salah menyalahkan, perang antara pahlawan papan kekunci bermula.

Pada yang nak ambil kesempatan, mulalah keluar teori itu ini, tampal gambar macam-macam semata-mata untuk tarik trafik ke portal masing-masing.

Di mana nilai kita?

~ ~ ~

Jika nak dibahas secara akademik, memang panjang nak diulas.

Tapi inilah usaha yang nak dimulakan bersama.

Kita semua ada kuasa yang besar di hujung jari. Jangan fikir besar-besar, satu mesej yang anda taip kepada insan paling rapat, hanya untuk tontonan bersama pun boleh beri impak besar kepadanya.

Kalau nak fikir cara penguatkuasaan, ketatkan hukuman, penjara semua orang yang beri idea, tulis, sebar berita yang tidak sahih, memang tak habis kerja.

Cara yang paling mudah, ialah mulakannya dengan diri kita sendiri.

Wartawan Awam adalah orang yang sanggup bersama dalam usaha ini. Usaha kecil bermula hari ini, harapnya akan diserap jadi budaya warga Malaysia dan dunia, sedikit-demi sedikit.

Seperti ulat memakan daun, usahanya kecil, perlahan-lahan tapi konsisten. Sedar sahaja, daun dah habis dimakan.

Wartawan Awam sanggup menerima semua info yang sampai kepadanya. Tapi selepas itu dia yang tapis jika ia layak untuk disebar ke dunia massa.

Wartawan Awam sanggup dianggap tidak ‘cool’ kerana tidak ‘share’ sesuatu info di dinding FB dan akaun Insta-nya, ‘until they are convinced on the validity of the news’.

Di sinilah datangnya prinsip ‘Lihat – Faham – Beritakan’.

Saya fikir, lihat sahaja pada tiga perkataan ini, anda boleh tangkap ertinya.

Tapi untuk kebaikan bersama, nanti saya kongsi tentang geng tiga serangkai ini dalam penulisan-penulisan akan datang.

 clark kent_lois lane

Sampai jumpa.

 

Ali Imran
Wartawan Awam

Kredit gambar:

http://i1.cdnds.net

https://aspectratio.files.wordpress.com

http://wolkin.com

Wartawan Dalam Diri Kita

“Kak Lopez, semalam saya tengok Pak Jackson naik motor dengan bini baru…muda lagi, bergetah!” kata Mak Britney sambil memilih ikan di pasar tani.

“Isy, kau biar betul. Mana kau tahu itu bini muda dia? Tapi rapat tak perempuan tu peluk Pak Jack? Kalau rapat, sahlah bini baru itu,” jawab Kak Lopez.

“Nak kata rapat, tak sempat nak tengok lama-lama. Nampak pun sekali lalu sahaja. Tapi mesti rapat punya, naik motor takkan renggang-renggang,” balas Mak Britney. Matanya dijegilkan sedikit.

Tak sampai 4 jam, semua ahli Persatuan Bini Peringkat Kampung Mulia Kayu sudah kecoh dengan ‘berita’ yang Pak Jackson ada isteri baharu.

Hakikatnya, tak siapa tahu sejauh mana benarnya ‘kisah’ Pak Jackson. Yang digembar-gemburkan.

~ ~ ~

Situasi ini biasa buat dalam kehidupan seharian kita. Tak kiralah di sini, Malaysia tercinta mahupun di Amerika, di Zimbabwe sekali pun, sama sahaja.

Manusia memang suka bercerita.

Cuma ramai yang tak sedar cerita apa yang dibawa, sejauh mana impak cerita yang dibawa kepada dirinya sendiri, masyarakat sekeliling, daerah tempat tinggalnya, budaya yang dijunjung – dan kepada DUNIA.

Oleh itu suka saya mulakan, dalam cerita kita, sebenarnya ada huruf ‘B’ yang sebenarnya menjadi pangkal kepada perkataan cerita.

Dalam ‘C’, ada ‘B’.

Setiap cerita yang dibawa, itu adalah berita.

Belum tentu benar, tapi sebaik sahaja si pemula cerita menyampai kepada sepasang telinga lain yang mendengar. Ia adalah berita.

~ ~ ~

Saya berpendapat, budaya menyampai berita ini amat baik. Ia perlu diteruskan. Malah ia seharusnya terus disuburkan.

Dengan cara inilah kita berkongsi ilmu kepada manusia. Inilah medan menyampai kisah generasi terdahulu kepada yang mendatang.

Cerita kita hari ini, adalah berita untuk mereka rujuk, sebagai cop mohor imej generasi sebelum mereka untuk dibuat contoh tauladan atau sempadan.

Kerana itulah, cara memberita amat penting. Implikasinya maha hebat.

~ ~ ~

Dunia hari ini, hampir semua orang boleh menulis berita. Platformnya pelbagai. Yang berFacebook, Twitter, blog, Insta, macam-macam cara.

Caranya juga pelbagai. Menulis, suara, video semuanya amat mudah pada hari ini.

Mari kita gunakan semua medium ini sebaiknya.

Jadikan ia satu medan untuk kita menyampaikan apa juga yang kita mahu dunia tahu, tapi dengan cara yang bijaksana.

Biar bila orang baca cerita kita, orang terima ia sebagai berita. Orang tahu anda bukan pejuang papan kekunci yang tiada arah tuju, semua benda anda tahu, semua benda anda nak tembak.

Dahulu, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sekarang, keyboard QWERTY lebih ganas daripada bom atom.

Atau setidak-tidaknya, papan kekunci inilah yang boleh letup beberapa biji bom atom.

Tiga kata prinsip yang saya pegang setiap masa ialah lihat, faham dan beritakan.

Jika tidak penuhi ketiga-tiga tapisan ini, susah saya nak lepaskan sesebuah cerita untuk diterbitkan.

Kita akan kupas perihal tiga sekawan ini dalam post-post akan datang.

~ ~ ~

Sekarang kita sudah jelas bahawa semua kita boleh bercerita. Cuma yang tinggal jadi masalah ialah bagaimana caranya untuk memberita?

Inilah yang akan dikongsi sedikit demi sedikit di laman ini.

Saya lapor diri ke Bernama tanpa sebarang kelayakan formal dalam bidang penulisan. Saya haya pernah menulis blog dan menjadi penulis laporan program untuk kelab berbasikal yang saya sertai.

Kelayakan diploma saya ialah pengurusan perniagaan. Peringkat ijazah saya lompat masuk bidang logistik dan pengangkutan.

Bila ditanya, apa kerja saya sebelum jadi wartawan, saya jawab “jaga kapal-kapal di lautan,” sebab memang itulah kerja saya.

Selama empat tahun saya menimba ilmu sedikit demi sedikit dalam bidang penulisan rencana dan berita. Ia tidak mudah dan tidak juga susah.

Cuma perlu ada sedikit azam dan latihan.

Saya amat beruntung kerana dikelilingi orang-orang yang tak berhenti membantu setiap kali saya berdepan masalah. Bagaimana nak mula tulis, ‘angle’ berita yang macam mana nak dibuat, tatabahasa, mereka bantu setiap masa.

Saya mahu berbuat perkara sama kepada anda.

Kenapa? Adakah sebab saya ‘terra’?

Tidak. Cuma nanti bila malaikat maut jemput saya, tidak sanggup saya tutup mata dengan penyesalan kerana tidak berkongsi ilmu yang ada untuk mengubah landskap pemberitaan semasa yang agak gila.

~ ~ ~

Kenapa pilih nama ‘wartawan awam’?

Post seterusnya, saya akan cerita.

Sekian dahulu salam pembuka kata.

 
Ali Imran Mohd Noordin
Wartawan Awam
23 Januari 2015