Wartawan Sepantas Kilat

Jadi, ramai yang merasakan mereka mahu menjadi wartawan.

Tapi bukannya sebagai wartawan yang betul-betul bekerja dengan rumah penerbitan akhbar atau agensi berita, kebanyakan kita mahu menjadi wartawan ‘dengan cara sendiri’.

Ramai yang mahu menyebar berita tapi tidak mahu dikenali ramai. Buktinya ialah bila melaporkan sesuatu kejadian, mereka memilih untuk menyiarkannya di laman facebook milik peribadi.

Sudah pasti capaian beritanya terhad, melainkan apa yang dilapor betul-betul ‘panas’ dan sensasi.

Tak mengapa, semua orang ada petak mulanya masing-masing. Saya juga sama.

Tapi hari ini saya kongsikan elemen PALING PENTING buat mana-mana individu yang mahu menjadi pelapor masyarakat.

>>>PANTAS. MASA TIDAK MENUNGGU KITA<<<

Inilah yang mula-mula dipupuk kepada kami wartawan Bernama.

Sebagai wartawan di agensi berita, banyak pihak yang menjadikan sumber berita daripada Bernama sebagai sumber utama.

Banyak kali terjadi, syarikat-syarikat berita memilih untuk menyiarkan berita yang dikeluarkan Bernama meskipun mereka sudah hantar wartawan mereka sendiri di lokasi.

Mengapa ini berlaku? Saya tak mampu nak jawab. Anda kena tanya sendiri editor-editor yang terlibat.

Tapi buat kami di Bernama, ini adalah tanggung jawab besar yang kami pikul.

Mengeluarkan berita yang pantas bererti perlunya mendapatkan maklumat dengan pantas, ‘cross check validity’ segera serta menulis berita dengan seberapa segera.

Dengan adanya teknologi yang pelbagai pada hari ini, kerja menjadi lebih mudah, tetapi yang paling digeruni ialah jika berlaku kesilapan fakta dalam penulisan.

Jadi rumusnya sudah perlu diubah sedikit, menjadi

>>> PANTAS DAN TEPAT <<<

Maka inilah yang saya mahu kongsi untuk perkongsian kali ini.

Jadilah pelapor yang mampu menyediakan berita dengan pantas.

Tapi jangan sampai kualiti informasinya terjejas.

Semoga berjaya.

Ali Imran

Wartawan Awam

Agensi Berita vs Syarikat Berita: Persamaan Dan Perbezaan

image

Selamat Pagi.

Hari ini kita bincang tentang institusi-institusi berkaitan berita yang ada di negara ini, yang juga merupakan gambaran asas terhadap struktur pemberitaan di negara-negara lain di seluruh dunia.

Topik ini dicadangkan oleh guru penulisan saya, saudara Zamri Mohammad.

Sehingga hari ini saya masih disoal orang, “Bernama ada surat khabar?” “Di mana nak baca berita daripada Bernama?” Dan kalau orang yang ada sedikit kefahaman tentang Bernama boleh jadi akan tanya “bila berita ini akan keluar di akhbar?”

Maka saya akan ulanglah jawapan yang bakal anda baca dalam artikel ini, cuma bila jelaskan dalam masa yang pendek ayat-ayatnya mestilah lebih ringkas tetapi padat.

Kita mulakan.

 

PENGENALAN

Kamus dalam talian Merriam Webster mendefinasi fungsi agensi berita dengan cara paling ringkas dan tepat.

 photo 98de1619-dbf6-44e0-9ad6-f3979b99140e_zps5508dc55.png

(Rujukan di http://www.merriam-webster.com/dictionary/news%20agency)

Terjemahan: Organisasi yang mengumpul dan memberikannya berita kepada akhbar, majalah, program-program berita televisyen dan stesen-stesen radio.

Melihat ini, cukup untuk membuat kita faham bahawa surat khabar yang kita baca setiap pagi, berita jam 8 malam yang kita tonton dan hebahan berita di radio yang kita dengar, sumbernya daripada agensi-agensi berita.

Cuba dengar berita di radio pagi ini. Pasti akan disebut ‘Sumber daripada (sebagai contoh) Bernama, Reuters dan Bloomberg)

Bila baca surat khabar, tiba-tiba di hujung artikel atau berita, ada nama agensi-agensi berita. Boleh jadi Bernama, AFP, Reuters, Bloomberg atau lain-lain nama.

Apa pula fungsi syarikat berita?

Mereka juga menjalankan fungsi mencari berita. Tidaklah semua berita dikaut daripada agensi-agensi.

Tapi ada sesetengah berita yang memang akan dirujuk kepada agensi. Akan kita sentuh sebentar lagi.

 

KENALI BERITA DARIPADA AGENSI

Agensi berita tidak punya suratkhabar sendiri. Sekurang-kurangnya, tiada yang saya tahu.

Kebanyakannya menggunakan platform laman sesawang sebagai ‘rak’ mempamer berita yang boleh diambil oleh para pelanggan untuk dimuatkan dalam akhbar/program tv/program radio mereka.

Semua akhbar utama di Malaysia, baik bercetak ataupun dalam talian adalah pelanggan perkhidmatan Bernama.

Cara nak kenal berita dari Bernama, AFP, Reuters dan sebagainya, amat mudah. Lihat sahaja di hujung artikel yang and abaca. Kredit akan diberi kepada sumber seperti contoh dalam gambar-gambar di bawah.

 photo nst28jun13_bernama_zpsbca3e531.jpg
Kredit: http://www.pestech-international.com

Ataupun lihat di mana-mana pada berita, pasti akan ada ditulis, sumber berita itu dari siapa.

 photo 7833c298-a2db-494b-bbdb-d67ace6eed4f_zpsa89d381c.png

 

AGENSI BERITA

Ada dua jenis agensi berita. Pertama, yang menjadi suara rasmi sesebuah negara dan kedua, akibat sistem yang diamalkan di negara tempat ia bertapak, lebih berorientasikan keuntungan.

Kebanyakan agensi berita yang mewakili sesebuah negara tidak menjadikan keuntungan sebagai motif utama. Boleh jadi, ia adalah satu jabatan yang dibentuk oleh sesebuah negara.

‘Cash cow’ untuk agensi berita biasanya tertumpu pada jualan berita dan gambar. Ada juga usaha lain untuk buat duit.

Agensi berita seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama – www.bernama.com ) adalah contoh agensi berita yang mewakili negara. Bernama adalah sebuah badan berkanun, ditubuhkan kerajaan Malaysia melalui Akta Parlimen 1967.

Tapi jika sesuatu berita dikeluarkan Bernama, ia lebih dipercayai dan berita yang dikeluarkannya ada ‘insuran’ daripada kesalahan.

Negara-negara lain yang turut mempunyai agensi berita adalah seperti:

(Senarai agensi berita di Wikipedia – http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_news_agencies )

Kedua, agensi berita yang tidak berasaskan negara.

Contoh mudah yang saya boleh beri ialah AFP (http://www.afp.com/ ) dan Reuters (http://www.reuters.com/ ).

Fungsi mereka tidak jauh berbeza daripada agensi berita yang berasaskan negara cuma mereka tidak semestinya mewakili suara negara asal mereka (dalam kes ini, AFP dari Perancis dan Reuters dari England kerana ia bersifat ‘self-sustained’.

Ia bermotifkan keuntungan melalui penjualan berita, langganan, iklan, dan sebagainya.

Tidak jauh beza dengan syarikat berita tapi sebab berita keluaran mereka digunapakai banyak pihak, maka mereka bertaraf agensi juga.

 

SYARIKAT BERITA

Motif utama sesebuah syarikat berita ialah keuntungan atau menyampaikan sesuatu mesej berdasarkan kepentingan pemilik syarikat.

Mereka turut menjalankan proses mencari berita, tetapi hanya untuk kegunaan syarikat mereka sahaja.

Sebagai contoh, kumpulan The New Straits Times Press yang memiliki akhbar New Straits Times, Berita Harian, dan Harian Metro akan memastikan jualan akhbar-akhbar jenama mereka mendapat jualan yang tinggi untuk syarikat.

Perkara sama dilakukan Kumpulan Utusan yang memiliki Utusan Malaysia, Kosmo! dan Kumpulan Media Karangkraf yang memiliki Sinar Harian.

Ketiga-tiga kumpulan ini bersaing untuk mendapat jualan tertinggi. Pelbagai strategi diguna.

Persaingannya memang gila.

Akhbar-akhbar seperti Harakah, Roket dan 1Suara pula antara contoh penerbitan yang fokusnya untuk menyampai berita mengikut kepentingan pemilik syarikat.

 

KENAPA AGENSI BERITA PENTING UNTUK SYARIKAT BERITA?

Saya jelaskan melalui tiga poin utama

1. ‘Burden of blame’

Dalam sesebuah pemberitaan, perkara yang paling ditakuti ialah bila berlaku kesalahan dalam sesebuah laporan.

Ini boleh menjejaskan reputasi sesebuah syarikat berita. Nak kena siarkan ralat, dan mimpi paling ngeri seseorang editor atau wartawan ialah jika kesalahan berita itu jadi kes mahkamah.

Jadi bila ada berita yang mungkin berisiko untuk disiarkan, mungkin kerana sumber yang tidak jelas atau ada percanggahan pada sumber, berita yang dikeluarkan agensi menjadi sandaran.

Kalau pun ada kesalahan, akhbar yang menyiarnya tidak boleh dipersalahkan. Sebaliknya agensi berita yang mengeluarkan berita asal yang dipertanggung jawabkan.

Sebab itulah, di pihak agensi berita, ada berita yang dikeluarkan lambat. Puas dah berita di tv, radio dan website syarikat berita ulang berita itu tapi kami di agensi masih lagi tidak siarkannya.

Biasanya, ini berlaku bila kami sendiri tidak dapat sahkan kesahihan berita.

Terutama bila ada mengaitkan dengan kematian, memang ada masa, berita di Bernama lambat.

Nak kena pastikan, apa betulkah orang itu mati.

Sebab pernah jadi, media lain semua lapor mati, Bernama cari berita, gali sana-sini tengok-tengok si empunya diri masih bernyawa lagi.

Kadang-kadang, empunya diri itu nazak, dimasukkan ke ICU, ada yang ‘nakal’ sebarkan kata sudah meninggal dunia.

Kes terbaharu, mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz pun ada yang sebar konon beliau sudah ‘pergi’.

Bahaya, memang bahaya. Ia akan beri kesan emosi kepada pihak yang terlibat dan sudah tentu mencacatkan imej agensi itu sendiri

2. Akses Sumber

Ada masa, memang hanya beberapa pihak sahaja yang diberi akses kepada berita.

Contoh, waktu ketibaan jenazah korban tragedi MH17, hanya jurugambar Bernama yang dibenar masuk ke kawasan ketibaan jenazah.

Satu lagi, bila belanjawan negara nak dibentang, Bernama dapat teks Menteri Kewangan dahulu. Tapi ia akan dihadkan untuk dilihat hanya oleh pasukan yang terlibat menguruskan berita itu.

Mereka dikuarantin. Masuk dalam bilik tak boleh keluar. Makan minum akan dihantar masuk.

Sambil menteri baca teks, satu per satu berita berkenaan apa yang diumum menteri akan diterbitkan.

3. Penuhi Ruang

Ketahuilah, tidak mudah untuk memenuhkan setiap helai mukasurat dalam akhbar yang anda beli setiap hari.

Sebab itu, berita-berita daripada agensi juga membantu syarikat berita untuk memperbanyak bahan dan memperkaya pengisian tentang sesuatu isu.

Sebagai contoh, walaupun wartawan Berita Harian sudah menulis banyak berita tentang kehilangan pesawat MH370, berita daripada Bernama turut diambil dan dimuatkan dalam akhbar untuk menguatkan lagi berita-berita lain yang dimuatkan dalam isu sama.

 

BUAT PENULIS, APA YANG PENTING?

1. Tembusi akhbar sangat baik untuk bina nama dan sumber kewangan.

2. Tembusi agensi berita, sebagai orang awam, sukar sekali. Ruang yang dibuka amat kecil dan hanya untuk pihak yang dipercayai agensi sahaja.

3. Hari ini, sudah ada cara untuk mula dapatkan nama agensi, sebagai contoh Bernama. Melalui penghantaran gambar dan video ke Facebook Bernama. Sepengetahuan saya, tiada ganjaran wang, tapi kredit akan diberi kepada pemilik gambar melalui fungsi #

4. Ini amat baik untuk dimasukkan dalam profil anda.

 photo d4cf2b2f-af64-4440-9c09-b474756ba456_zps6bc7a351.png

 photo 4158d88d-eaed-4058-87be-4dd8f6b217e1_zps4970aebd.png

 

~ ~ ~

Cukup dahulu setakat ini.

Semoga bermanfaat.

Lihat.Faham.Beritakan.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.
  2. Pengisian dalam blog ini adalah pendapat penulis semata-mata. Tidak ada kaitan dengan mana-mana ‘school of thought’ atau dengan erti kata lain, ‘mazhab’ penulisan yang diamalkan oleh mana-mana agensi dan syarikat berita. Pun begitu, Penulis dididik oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan ini memungkinkan ada bahan yang ditulis merujuk kepada teknik yang diguna agensi berita rasmi negara Malaysia itu.