Perginya Nik Aziz dan Hasbullah Awang – Tugas Wartawan Awam Yang Belum Selesai

 photo nikaziz-malaysiakini_zps303c29dc.jpg

 photo hasbullahawang_zps910447b5.jpg

Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sudah pergi meninggalkan alam dunia. Ditinggalkannya segala apa yang disayangi sepanjang hidupnya, ditangisi jutaan manusia seluruh dunia.

Saya coretkan dalam status di Facebook, pendapat saya tentang pemergian ini, pagi tadi.

 “Bagusnya kalau kata-kata pujian dan sanjungan dapat diungkap sewaktu empunya badan masih bernyawa.

Pasti negara akan damai sentiasa.”

Artikel ini sebenarnya saya nak tujukan sempena pemergian ikon media negara, Datuk Hasbullah Awang.

Tapi bila sebelah malamnya dapat berita tentang mantan Menteri Besar Kelantan ini saya fikir memang isi nukilan ini lebih cocok dengan beliau.

Kedua-dua ikon ini, Nik Aziz dan Hasbullah Awang adalah orang yang amat konsisten dan ikhlas dalam bidang yang mereka kerjakan.

Keikhlasan mereka dalam perjuangan mereka sebenarnya tidak datang dengan kata-kata sanjungan tapi yang lebih banyak diterima ialah kutukan dan cemuhan orang ramai.

Sejujurnya, mari kita ingat kembali kisah Datuk Hasbullah Awang.

Yang selalu diangkat tentang beliau ialah tentang slip of tongue dalam menyebut nama-nama pemain (yang lazimnya diikuti dengan pembetulan oleh beliau sendiri).

Tidak lupa juga, anologi-anologi beliau yang bunyi macam tak masuk akal, seperti “Rashid Sidek terbang bagaikan kupu-kupu”.

Bahkan saya sendiri pun, pernah fikir seorang diri – kenapalah beliau masih ada dalam industri ini? Sampai waktu beliau sertai Astro Arena, jujur saya katakan, saya tepuk dahi.

Tapi selepas pemergian beliau, ramai pula yang menjenamakan semula lawak-lawak ini menjadi kata-kata sanjungan.

Untuk saya, hanya selepas dapat peluang sembang dengan wartawan sukan, barulah saya faham kenapa nilai Datuk Hasbullah Awang tetap tinggi walau usianya makin lanjut, walaupun semakin ramai pengulas sukan yang muda ‘trang-tang-tang’ lahir.

Kerana cinta dan ikhlasnya cinta beliau kepada perkembangan sukan negara.

Perkara sama berlaku kepada Nik Aziz.

Umum mengetahui susuk tubuh ini menggunakan platform politik untuk menjayakan misi perjuangannya.

Harus kita fahami bersama, bahawa landasan ini sangat kejam. Sebenarnya, TERLALU kejam.

Dalam politik, unsur kebenaran bukanlah perkara utama.

Yang penting ialah memenangi undi.

Sepanjang hidup Nik Aziz, beliau perlu menghadapi semua ini untuk survival politiknya.

Pastinya seperti mana manusia lain, ada masa keputusan beliau tepat, ada masa ia sebaliknya.

Tapi apa yang lebih penting ialah laporan yang diberi kepada beliau yang ada kalanya, amat menyedihkan.

Bila sesuatu laporan ditulis untuk memenangkan satu pihak dan mengalahkan satu pihak yang lain, ia bukan lagi sebuah berita ~ Ia adalah sebuah propaganda.

Dalam kes Nik Aziz. Ada penulis yang menulis untuk memenangkan beliau, ada juga untuk menjatuhkan beliau.

Tapi mengapa hanya setelah kedua-dua ikon ini pergi meninggalkan kita, barulah nak diangkat dan dipuja mereka?

Yang dahulunya mengeji, tiba-tiba jadi yang paling menghormati.

Terutamanya hal melibatkan Nik Aziz, timbul soalan di benak saya, sebenarnya segala kebencian yang kita lihat di dada akhbar, di kaca tv selama ini, apakah ia sesuatu yang asli, sesuatu yang ‘genuine’ lahir daripada mereka?

Atau selama ini mereka baik-baik sahaja, tapi dinampakkan saling memusuhi?

Sebabnya, kalaulah dari awal dapat dipupuk dan dipromosikan penyatuan tanpa sempadan seperti yang kita lihat sejak malam tadi, pastinya negara ini sudah lama damai tanpa sengketa dan benci.

Maka ia akan diikuti dengan kerjasama erat membangun tanah bertuah ini. Sama-sama bekerja, sama-sama merasai.

Ertinya, tak perlu label-label dan jenama sendiri. Semua pihak mampu buang baju pelbagai lambang dan duduk bawah satu panji.

Inilah tugas yang perlu digalang Wartawan Awam.

Sampaikanlah sesuatu berdasarkan keadaan sebenarnya.

Sebenarnya, terlalu banyak perkara baik yang berlaku di sekeliling kita.

Saya sendiri pernah lalui, di saat orang parti A tak sempat nak cetak bahan kempen untuk pilihanraya, orang parti B sanggup bantu cetakkan. Harga, masih harga kawan-kawan.

Lihatlah kejadian, mengambil kira segala isu dari segenap aspek.

Fahamkan ia untuk pengetahuan penulis dahulu. Jangan tulis sesuatu yang kita tidak ada pengetahuan tentangnya.

Beritakanlah sesuatu dari sudut pandang yang boleh memberi nilai kepada pembaca. Sebaiknya, pilihlah nilai yang positif agar lebih banyak perkara baik dapat kita jadikan bibit dalam membina masyarakat bertamadun tinggi.

 

Ali Imran

Wartawan Awam

Kredit gambar:

Nik Aziz – MalaysiaKini
Hasbullah Awang – Astro Arena

Nota:

  1. Hak Cipta Terpelihara Ali Imran Mohd Noordin. Penggunaan semula bahan-bahan dalam blog ini dengan apa jua cara perlu mendapat kebenaran bertulis penulis yang boleh dihubungi di aliimran.mn@gmail.com.