Panduan Menjawab Soalan Berkaitan Isu Semasa Buat Para Wartawan

Salam Sejahtera,

Kehidupan sebagai wartawan, tak jauh sama besar tanggung jawabnya berbanding kerjaya-kerjaya besar yang lain seperti doktor, peguam, dan akauntan.

Ini kerana bila ada yang soal kepada kita, “kau wartawan, mesti kau tahu cerita,”

Sebenarnya mereka mengharapkan jawapan daripada kita untuk membolehkan mereka mengambil ‘stand’ atau pendirian berkenaan isu itu.

Inilah peluang kita untuk menyemai benih kebaikan. Peluang untuk menyatakan sesuatu yang sesuai dengan landasan kebenaran.

Saya secara peribadi memilih untuk mengamankan keadaan berbanding mencurah minyak.

Ini kerana, saya tidak terlibat secara langsung berkaitan kes-kes yang dipersoalkan.

Prinsip yang saya pegang adalah berpaksi ayat Quran, surah Al- Isra ayat 36 yang mana Tuhan menegah manusia berbuat sesuatu sekiranya mereka tidak ada pengetahuan mengenai sesuatu hal.

Pengetahuan saya berkenaan sesuatu isu itu juga banyak bergantung kepada bacaan-bacaan berkaitan isu tersebut.

Jadi, info yang saya ada, saya proses dan pakejkan dari angle (sudut pandang) yang berkonotasi positif.

Sudah terlalu banyak keburukan ditanam dalam benak pemikiran warga Malaysia, ini masa untuk jadikan pemikiran mereka fitrah, bersih kembali.

Lagipun,

Sedar atau tidak, dalam kebanyakan kes yang dibangkitkan, ia masih dalam siasatan atau fakta yang tidak jelas.

Jadi kenapa kita pula yang nak lebih sudu daripada kuah?

Nota – Panduan ini juga boleh digunakan untuk sesiapa yang rasa perlu menggunakannya.

Nota 2 – Jawapan yang disenarai, banyak bersifat play safe, dengan harapan tidak lagi menyemarak rasa benci tak bertempat. Yang lebih penting ialah untuk mengajak mereka berfikir.

Kiranya anda yakin benar dengan fakta yang ada dalam benak otak anda, silakanlah teruskan dengan kebenaran anda itu.

Jadi, disenaraikan di bawah, isu dan (cadangan) jawapan. Boleh disesuaikan dengan pengetahuan bersifat fakta dalam otak para wartawan sekalian.

1. 1MDB – Tanah

Satu kerugian besar kepada negara bila tanah milik Tabung Haji di TRX, yang lokasinya hanya beberapa ratus meter daripada ibu pejabat Tabung Haji terlepas ke tangan entiti luar negara.

2. 1MDB – 42 Bilion, Jho Low, Petro Saudi

Betul, ramai yang persoalkan hal ini. Sampai Mahathir pun marah. Betullah, siapa yang tak marah kalau duit hilang? Baru hilang RM 42 pun boleh buat soru miss, inikan pula 42 billion?

Tetapi, di sebalik segala kemarahan,

PAC yang ditugaskan menyiasat hal ini, dianggotai pelbagai pihak termasuk pemimpin parti-parti mewakili kerajaan dan pembangkang telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini bahawa tiada sebarang hal pelik atau sangsi berkaitan hal kewangan syarikat ini.

Kalau kenyataan ini palsu, tertunggu juga Tony Pua dedahkan di mana palsunya.

Tambahan pula,

Ada sesiapa yang pernah baca sendiri laman Sarawak Report, yang dipuja, diangkat dan digelar hero sebagai ‘whistle blower’ isu ini?

3. Duit Masuk Akaun Najib

Boleh jadi ya, boleh jadi tidak. Siasatan sedang berjalan.

Cuba kita fikir sebentar, jika betul terbukti dakwaan itu palsu, apa kita nak buat?

4. Low Yat – Gaduh Kaum

Kebenaran belum diketahui. Ceritanya juga berbolak balik. Mula-mula kata budak Melayu curi, kemudian tak, kemudian IGP kata curi, kemudian peguam OKT dakwa kenyataan IGP tipu.

Sedangkan kenyataan IGP pun dipersoal, siapa laginyang mungkin lebih tahu butiran sebenar hal ini?

Video tersebar di laman sosial, banyaknya yang saya lihat, sudah diedit untuk memberat sebelah.

Geng yang gaduh itu, kita kasihan kerana mereka juga belum tahu apa yang sebenarnya berlaku, tapi sudah membuat tindakan.

5. Mahathir

Hari ini ramai yang tak suka Najib, jadi mereka mengharapkan tempat bergantung. Mahathir ada track record lebih baik buat masa ini berbanding Najib, jadi orang bergantunglah pada dia, sementara ini.

6. Muhyiddin

Ya, beliau juga perlu memastikan survival politiknya. Tapi kalau beliau betul jadi PM, cabarannya teramat besar kerana antara cabaran besarnya adalah perlu mengembalikan keharmonian masyarakat dan kepercayaan rakyat. Dua elemen subjektif yang amat sukar diberi kayu ukur.

7. Gempa Sabah

Kita masih dalam keadaan berjaga-jaga, gempa-gempa susulan kecil belum hilang sepenuhnya.

Malim Gunung dalam proses diserap masuk di bawah agensi kerajaan supaya mereka boleh dapat perks kerajaan juga.

Cuma doa kita, malim gunung di gunung-gunung lain juga dapat perkara sama, kerjaya mereka juga mencabar seperti Kinabalu.

8. Gabungan Harapan Baharu

Negara ini mengamalkan demokrasi, silakanlah berusaha, semoga yang terbaik akan menang.

9. DAP

Dalam perkahwinan yang sah, dah siap janji sehidup semati pun ada orang yang bercerai, inikan pula dalam satu perikatan kerjasama politik. Ya, mungkin sudah sampai masanya.

10. Hukum Hudud

Belum dibentang di Parlimen, dan tak siapa tahu bila ia akan dibentang.

Sehingga ia berlaku, tidak kita ketahui apakah nasibnya RUU ini.

Hukum hudud kejam? Mohon baca dahulu butirannya, boleh download di sini.

11. Islamic State (IS)

Tak kisahlah sama ada ia adalah propaganda Amerika atau benar wujud, yang penting ia memberi bahaya pasti kepada nama baik, kemandirian dan kelestarian agama Islam itu sendiri.

12. Haron Din Sokong Najib?

Beliau hanya bersikap adil. Sesuatu belum terbukti, jangan kita jatuhkan hukum.

13. Air Johor

Dah lama hujan tak turun, memanglah kering.

Doakanlah hujan lebat kembali.

14. Air Selangor

Doanya agar projek Langat 2 dapat memberi hasil yang diharapkan tepat pada jangkamasa yang ditetapkan.

15. (Bonus Track) Hassan Malek dan Ahmad Maslan

Amat sedih dengan beberapa kenyataan oleh mereka yang nampak seperti tidak peka keadaan sebenar rakyat.

Tapi jangan tak tahu, ada juga ‘kenyataan’ mereka yang diada-adakan menggunakan laman sesawang palsu peribadi dan kementerian mereka.

Di waktu terbukti kenyataan itu palsu, sudah tiada gunanya kerana orang ramai sudah percaya.

– – –

Semoga bermanfaat.

Ali Imran
Wartawan Awam

Nota: Artikel ini ditulis sempena Hari Raya, tapi butirannya boleh terpakai hinggalah ada fakta kes yang membuktikan sebaliknya.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *